Polis terima laporan isteri hilang selepas tembakan di Rawang

Noor Azam Jamaludin (kanan) menunjukkan gambar Moganambal Govidansamy yang dilaporkan hilang selepas kejadian berbalas tembakan antara 3 penyamun dan polis di Rawang dalam sidang media khas di IPK Selangor hari ini.

SHAH ALAM: Polis Selangor menerima laporan berhubung kehilangan isteri seorang daripada tiga lelaki yang ditembak mati di Batu Arang, Rawang, Sabtu lalu.

Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin mengesahkan adik kepada wanita tempatan terbabit, Moganambal Govidansamy, membuat laporan polis pada hari sama kejadian itu.

Katanya, wanita terbabit ialah isteri Vijayaratnam Janarthanan, 40, yang berasal dari Sri Lanka manakala dua lagi lelaki iaitu Thavaselvam Gobindasany, 33, dan Mahendran Santhira Segaran, 23, merupakan warganegara Malaysia.

Beliau berkata, ketiga-tiganya ahli kumpulan samun aktif di sekitar Selangor, khasnya Rawang.

Beliau mengesahkan tiada rekod kemasukan Vijayaratnam ke Malaysia, manakala Thavaselvam dan Mahendran mempunyai rekod jenayah lampau terbabit dalam kegiatan kongsi gelap Geng 08 di Rawang serta Sentul.

Azam sekali lagi menafikan dakwaan mengatakan wanita itu berada dalam kereta dinaiki tiga lelaki itu ketika kejadian berbalas tembakan berlaku.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Moganambal untuk tampil membantu siasatan.

“Kami perlukan dia untuk teruskan siasatan sebab bila kejadian ini berlaku, dia pula tiba-tiba hilang,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor hari ini.

Tiga lelaki dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata dan pecah rumah, maut dalam kejadian berbalas tembakan di KM22, Jalan Batu Arang, Rawang, pada 5 pagi Sabtu lalu. Polis kemudiannya menemui dua pucuk pistol separa automatik, tiga bilah parang dan tiga sarung muka.

Bagaimanapun, Azam semalam menafikan dakwaan seorang wanita berada dalam kereta Volkswagen Polo yang dinaiki tiga lelaki ditembak mati dalam kejadian di Batu Arang itu.

Katanya, hasil pemeriksaan di tempat kejadian hanya menemui tiga suspek yang disyaki terbabit dalam kes samun bertopeng di kawasan Rawang, Batu Arang dan Kundang, serta polis bertindak selepas suspek melepaskan tembakan ke arah mereka.

Beliau berkata demikian susulan ahli keluarga seorang suspek yang maut dalam kejadian itu mendakwa polis tidak mahu mendedahkan maklumat isteri seorang suspek yang didakwa ada bersama mereka ketika kejadian dan belum ditemui sehingga kini.

Ahli keluarga tiga lelaki itu kemudiannya membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) meminta siasatan penuh ke atas kejadian berkenaan.

Semalam, Azam dilaporkan berkata, jika ahli keluarga membuat laporan mengenai kehilangan wanita itu, polis akan menjalankan siasatan dan mengklasifikasikannya kes orang hilang.

Hari ini, Azam berkata, polis belum menerima sebarang panggilan atau permintaan daripada Suhakam tetapi beliau mengalu-alukan suruhanjaya itu menyiasat kejadian tersebut.

Semalam, Pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph dilaporkan berkata, pihaknya akan menyiasat sama ada wujud salah guna kuasa polis atau pelanggaran prosedur operasi standard dalam kejadian itu.

Katanya, Suhakam akan menemui ketua polis Selangor dan pegawai penyiasat untuk mendapatkan butiran kes itu.