Kementerian Pendidikan arah semua sekolah di 2 negeri, WP ditutup

Sesi persekolahan di sekolah-sekolah terbabit juga tidak perlu diganti kerana langkah ini dikategorikan sebagai cuti bencana. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan mengarahkan semua sekolah di Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya ditutup selama dua hari bermula esok kerana jerebu yang berterusan.

Kementerian berkata sesi persekolahan di sekolah-sekolah terbabit juga tidak perlu diganti kerana langkah ini dikategorikan sebagai cuti bencana.

“Murid-murid dan para guru adalah diingatkan untuk sentiasa mengutamakan kesihatan, minum air secukupnya dan kurangkan aktiviti di luar,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, kementerian menambahbaik kaedah menghadpai jerebu yang makin kritikal, antaranya pengumuman penutupan sekolah akan disiarkan selewat-lewatnya pada enam petang.

Pengetua dan guru besar juga boleh mengumumkan penutupan sekolah sekiranya pada pandangan beliau keadaan jerebu semakin teruk berdasarkan bacaan IPU.

Sekiranya murid-murid berada di sekolah ketika diumumkan tutup, murid-murid masih boleh berada di sekolah dan pengajaran dan pembelajaran akan berjalan seperti biasa sehingga habis waktu persekolahan bagi sesi tersebut.

“Kecuali ada permintaan waris untuk membawa anak mereka pulang,” katanya.

Guru-guru juga diberi pilihan untuk bekerja dari rumah sekiranya sekolah mereka ditutup.

“Pengetua dan guru besar hendaklah memastikan perkara ini dibuat mengambilkira kebajikan semua,” katanya.

KPM berkata bagi Institusi Pengajian Tinggi (IPT), keputusan untuk menutup adalah terletak kepada keputusan pengurusan IPT masing-masing.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat 8 malam tadi bagi Pulau Pinang menunjukkan Seberang Jaya mencapai bacaan 180, Seberang Perai 182, Minden 223 dan Balik Pulau 252.

Di Selangor, Kuala Selangor mencapai bacaan 186, Petaling Jaya 202, Shah Alam 209, Klang 193 dan Banting 176.

Di Kuala Lumpur, Batu Muda mencapai bacaan 186 dan Cheras 175. Putrajaya pula mencapai bacaan 191.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Sementara itu di Perak, Exco Pendidikan Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Abdul Aziz Bari mengumumkan semua sekolah di negeri itu boleh menutup sesi persekolahan serta-merta jika bacaan IPU melebihi 200, lapor Sinar Harian.

Setakat ini, sebanyak 303 sekolah di Perak ditutup melibatkan Manjung, Hilir Perak, Bagan Datuk dan Perak Tengah.