Kit Siang dakwa Hadi sasar DAP kerana mahu balas dendam

Lim Kit Siang

PETALING JAYA: Lim Kit Siang mengecam kenyataan Abdul Hadi Awang di Sarawak sambil menyoal sama ada presiden PAS itu mahu “membalas dendam” hanya kerana tidak menyokong hasrat beliau menjadi calon perdana Menteri dalam pilihan raya umum 2013.

Veteran DAP itu berkata kenyataan Hadi, dikeluarkan di Bintulu pada Isnin, yang terus melabel beliau anti-Islam dan anti-Melayu berpunca dari sentimen kebencian yang mendalam.

“Satu perubahan ketara di pihak seorang yang pernah memuji sokongan DAP kepada PAS apabila kerajaan Kelantan jatuh pada 1977, (tiba-tiba) menjadi seorang personaliti yang menyebarkan berita palsu dan membuat ucapan kebencian?,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Di Bintulu kata Lim, Hadi mengeluarkan kenayatan palsu mendakwa DAP mahu memastikan kaum Cina menguasai Sarawak dan kekayaan negeri itu, bagi mencetuskan ketakutan, kebimbangan dan kebencian di kalangan orang Melayu dan Islam, dan bahawa DAP merupakan “pemimpin berpengaruh” dalam kerajaan pusat.

Hadi dilaporkan mengajak penduduk asal Sarawak dan Sabah mempertahankan kedudukan kuasa politik orang Islam dan orang asal supaya terus menguasai kedua-dua negeri itu.

Beliau berkata, ia bagi menjamin keadilan dan kesejahteraan negeri berkenaan dan negara.

Menurutnya, PAS bimbang Sarawak dan Sabah dikuasai DAP yang tinggal di bandar sahaja.

“Kalau penduduk Bumiputera, Melayu, Iban, Kadazan, Dusun dan orang asal Bumiputera berpecah, DAP boleh menguasai negeri dan kekayaan.

“Oleh sebab itu, orang Bumiputera, orang asal dan orang Melayu mesti bersatu. Bukan bermakna kita hendak menghalau orang Cina, tetapi biar mereka faham supaya memerintah dengan adil dan tidak membolot kekayaan sehingga melupakan orang-orang asal,” kata beliau.

Selain itu, Hadi turut meminta rakyat agar memelihara perpaduan yang sedia terjalin dan menolak sebarang pendekatan ekstrem yang boleh memecahkan kesatuan Malaysia Timur dan Malaysia Barat.

Kenyataan Hadi itu bukan kali pertama menyasarkan DAP dan pemimpin mereka.
PAS, DAP dan PKR membentuk Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum 2008 dan kekal sehingga 2015.

Konflik antara PAS dan DAP menyebabkan Pakatan Rakyat berkubur dan tidak bersama dalam Pakatan Harapan dibentuk bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.