Pakar jangka kerajaan peruntuk dana luar jangka sokong ekonomi

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka mempunyai ruang untuk menetapkan pengembangan belanjawan bagi 2020 menerusi perbelanjaan lebih tinggi dan langkah rangsangan, menurut United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB).

Pakar Ekonomi Kanan, Julia Goh menjangkakan kerajaan akan memperuntukkan antara RM5 bilion dan RM8 bilion sebagai dana luar jangka tahun depan untuk menyokong ekonomi di tengah-tengah ketidaktentuan luaran dan ketegangan perdagangan yang kian meruncing.

Beliau berkata dana luar jangka itu turut akan membantu menstabilkan ekonomi sekiranya kelembapan global lebih ketara.

“Kami berpandangan keterangkuman berasaskan model kemakmuran yang dikongsi akan menjadi teras belanjawan tersebut, justeru itu kerajaan dijangka menumpukan kumpulan berpendapatan rendah serta sektor perusahaan kecil dan sederhana.

“Beberapa langkah mungkin digariskan, termasuk menggalakkan pelancongan, insentif teknologi hijau, projek infrastruktur untuk merancakkan aktiviti pembinaan, pendidikan untuk mempertingkatkan produktiviti tenaga kerja selain dari segi penjagaan kesihatan supaya kos penjagaan kesihatan awam dapat dikurangkan,” katanya dalam program Bernama News Channel di saluran Astro 502.

Mengenai aspek hasil, Goh berkata UOB menjangkakan hasil kerajaan persekutuan meningkat 3% kepada RM231.5 bilion pada 2020 walaupun tiada langkah pencukaian baharu akan diperkenalkan.

Beliau berkata ini sebahagian besarnya didorong kestabilan ekonomi domestik yang akan menyokong cukai pendapatan individu dan korporat iaitu penyumbang 47% kepada hasil negara.

“Walaupun tiada cukai baru dijangka diperkenalkan tahun depan, kami masih berpandangan hasil kerajaan mungkin meningkat, berasaskan khususnya pertumbuhan ekonomi yang lebih stabil.

“Ini bermakna kerajaan akan masih mampu menyediakan perbelanjaan mencukupi untuk pendidikan, penjagaan kesihatan, perumahan mampu milik serta menaik taraf infrastruktur penting. Selain itu Bantuan Sara Hidup juga dijangka diteruskan pada 2020,” katanya.

Bagi mengelakkan sebarang perubahan yang tidak perlu ke atas Belanjawan 2020, yang mungkin mengganggu ekonomi, Goh berpendapat kerajaan seharusnya mengguna pakai unjuran harga minyak mentah konservatif serta langkah untuk mengurangkan kebergantungan kepada hasil berkaitan minyak.

Belanjawan 2020, yang akan dibentangkan di Parlimen pada 11 Okt ini, akan menjadi bajet terakhir mengikut Rancangan Malaysia Kesebelas (2016-2020).

Ia juga merupakan belanjawan penting kerana ia meliputi tempoh ketidaktentuan memuncak di tengah-tengah kebimbangan terhadap kelembapan pertumbuhan global yang lebih ketara.