PAS tubuh badan khas rangka pelan laksana Piagam Muafakat Nasional

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi (duduk, kiri) dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menandatangani Piagam Muafakat Nasional pada Sabtu lalu.

PETALING JAYA: PAS Pusat menubuhkan Jawatankuasa Khas Merangka Plan Tindakan dan “road map” merealisasikan Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai dengan Umno Sabtu lalu.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hasan berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan timbalan presiden Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Jawatankuasa ini akan merangka Plan Tindakan dan ‘road map’ berdasarkan Piagam Muafakat Nasional dan Memorandum Persefahaman Umno-PAS yang ditandatangani oleh kedua-dua presiden Umno dan PAS untuk dilaksanakan di semua peringkat parti.

“Segala hasil kajian dan rumusan jawatankuasa ini akan terlebih dahulu dibawa ke Jawatankuasa Perunding Umno dan PAS untuk diluluskan,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Piagam Muafakat Nasional antara Umno-PAS yang dimeterai menggariskan 5 teras, termasuk janji mahu mengusahakan secara kolektif satu “citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik.”

Selain itu teras tersebut turut merangkumi janji mahu menawarkan pendekatan dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan.

Dengan menggambarkan teras-teras itu sebagai “kewajipan”, 4 teras lain Piagam Muafakat Nasional adalah:

  • menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai agama persekutuan, kedaulatan raja-raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta menjamin kepentingan masyarakat majmuk terpelihara
  • Memperkukuhkan Muafakat Nasional melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara
  • Memperkasakan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera.
  • Membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.

Piagam itu ditandatangani oleh Ahmad Zahid Hamidi dan Abdul Hadi Awang, masing-masing presiden Umno dan PAS.