Pemain bola sepak antarabangsa tinggalkan pasukan Selangor kerana komen rasis

Bekas penyerang Queens Park Rangers, Antonio German (kiri). (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas penyerang Queens Park Rangers yang bermain untuk Selangor berkata dia meninggalkan Liga Super Malaysia sebulan selepas menerima mesej bersifat perkauman daripada peminat yang turut memalukannya semasa perlawanan.

Antonio German, yang juga bermain untuk kelab di Scotland, England dan India, dalam wawancara dengan BBC Sport mendakwa dia diberitahu yang dia “terlalu gelap” untuk bermain dengan Selangor.

Beliau berkata mesej dalam media sosial itu, hanya daripada sebilangan kecil peminat, namun dia terkejut dengan tindakan mereka.

“Saya bermain di beberapa negara tetapi tidak pernah mengalami rasisme,” German.

“Apabila kelab melihat saya meninggalkan (Selangor) mereka tidak tahu cerita sebenar.

“Saya suka Malaysia, ia sebuah negara yang luar biasa. Kebanyakan peminat adalah hebat – ia menyedihkan, tindakan ini menghalang karier saya.”

German, yang dilahirkan di London dan memiliki kewarganegaraan Grenada, menyertai skuad Selangor pada 13 Januari lalu.

Bagaimanapun, dia dimalukan dalam beberapa perlawanan walaupun menjaringkan 8 gol dalam 10 perlawanan sebelum musim dan menyumbang gol pertama liga untuk pasukannya.

“Perlawanan ketiga musim ini, saya bermain dengan baik tetapi tidak menjaringkan gol dan kalah teruk selepas 80 minit. Selepas perlawanan saya diberitahu lebih baik untuk meninggalkan pasukan demi keselamatan saya.

“Saya terfikir, ‘kenapa saya dihukum kerana tingkah laku beberapa peminat?’ Tetapi saya memutuskan untuk meninggalkan pasukan,” katanya kepada BBC Sport.

Menurut laporan itu, Selangor mengakui komen perkauman yang dibuat ke atas German di internet.

“Kami menyekat peminat yang berulang kali membuat komen rasis di platform kami daripada melihat laman kami lagi. Malangnya, kami tidak mempunyai sumber yang besar untuk menghukum peminat yang membuat komen rasis di dalam stadium,” katanya dalam satu kenyataan.