Jerebu: Putrajaya pulih sedikit, 8 lagi tidak sihat

Seorang pelancong melihat keadaan berjerebu Kuala Lumpur ketika melawat Menara KL.

PETALING JAYA: Lapan kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat yang melebihi 201 setakat 1 tengah hari tadi.

Johan Setia di Klang mencatatkan IPU tertinggi 257, diikuti Sri Aman di Sarawak (234), Shah Alam (219), Nilai (208), Petaling Jaya (207) dan Batu Muda di Kuala Lumpur (201).

Keadaan di Pulau Pinang bertambah teruk sejak pagi tadi. Bacaan IPU di Balik Pulau meningkat daripada 204 pada 7 pagi kepada 253 setakat 1 tengah hari ini, Minden daripada 185 (7 pagi) kepada 223 (1 tengah hari), Seberang Perai 138 (7 pagi) naik kepada 180 (1 tengah hari) dan Seberang Jaya 134 (7 pagi) kepada 172 (1 tengah hari).

Keadaan di Klang yang mencatatkan IPU 202 sejak 6 pagi tadi turun sedikit kepada 199 setakat 1 tengah hari ini, manakala bacaan IPU di Putrajaya berubah daripada 202 setakat 7 pagi tadi kepada 200 pada tengah hari ini.

Sebanyak 37 kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, manakala kualiti udara di 23 kawasan lain dikategorikan sederhana dan tiada kawasan yang merekodkan kualiti udara sihat.

Bacaan IPU 0-50 dikategorikan kualiti udara sihat, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 berbahaya.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, sebanyak 1,484 sekolah di 7 negeri ditutup membabitkan 1,003,310 pelajar setakat 1 tengah hari tadi.

Ia terdiri daripada 538 sekolah di Selangor, Sarawak (337), Perak (303), Pulau Pinang (162), Kuala Lumpur (66), Negeri Sembilan (53) dan Putrajaya (25).

Jabatan Perdana Menteri pula mengumumkan istiadat perbarisan sempena Sambutan Hari Pahlawan tahun ini yang dijadualkan berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya pada Khamis ini ditangguhkan akibat keadaan jerebu yang semakin teruk.

Bagaimanapun, acara seperti majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat, khutbah khas serta solat Jumaat sempena Sambutan Hari Pahlawan diteruskan mengikut jadual.