Tiada tangkapan kes pembakaran terbuka, kata polis

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

PUTRAJAYA: Polis berkata tiada sebarang tangkapan terhadap mana-mana pihak berhubung kegiatan pembakaran terbuka.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata polis sedia bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membendung kegiatan pembakaran terbuka sekiranya ada permintaan.

“Kami akan mengambil tindakan jika terdapat bukti jelas mereka melanggar undang-undang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Kerangka Dasar Luar Negara Malaysia Baharu di Pejabat Perdana Menteri.

Pada 11 Sept lalu, JAS mengeluarkan larangan pembakaran terbuka berkuasa serta merta sehingga monsun barat daya berakhir.

Larangan dikecualikan bagi pembakaran mayat, pembakaran bagi tujuan keagamaan, aktiviti barbeku dan pembakaran gas mudah terbakar.

Mereka yang melanggar perintah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.