Ahli akademik gesa dialog terbuka tangani Syiahfobia

Ahli akademik, Syed Farid Al- Attas.

PETALING JAYA: Seorang ahli akademik menggesa kerajaan menyelesaikan konflik akibat Syiahfobia dengan menganjurkan dialog terbuka antara pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah di Malaysia.

Pakar sosiologi, Syed Farid Al-Attas berkata Syiahfobia berpunca daripada prasangka tertentu yang muncul dalam kalangan orang Islam yang ekstremis.

Oleh itu, katanya, dialog kunci utama untuk merungkai segala prasangka terhadap Syiah dari segi tafsiran teologi dan perbezaan beberapa perkara dalam mazhab tersebut.

“Ya, ada perbezaannya tapi perbezaan itu tidak sampai untuk kita ‘kafirkan’ mereka,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau mengulas cadangan terbaik untuk menangani Syiahfobia susulan tangkapan dan serbuan polis yang dibuat kepada pengikut Syiah baru-baru ini.

FMT melaporkan puluhan pengikut Syiah, termasuk warga asing ditahan dalam serbuan pada acara tertutup Syiah sempena memperingati Hari Asyura, ulang tahun kematian Hussein, cucu Nabi Muhammad iaitu tokoh utama dalam Syiah.

Syiah, fahaman Islam kedua terbesar yang mempunyai banyak pengikut di Iraq, Iran, Kuwait, Bahrain, Lubnan dan beberapa bahagian di Arab Saudi, Yaman dan Pakistan.

Tetapi pihak berkuasa Islam negeri mengisytiharkan ajarannya sebagai “menyimpang”, dengan khutbah di Selangor sering mengutuk pengikutnya sebagai sesat.

Mengulas lanjut, Syed Farid berkata terdapat segolongan kecil ulama Sunnah yang agak ekstrem yang mengkafirkan Syiah.

“Begitu juga dalam kalangan ulama Syiah, ada segolongan kecil antara mereka yang mengatakan Sunni sebagai terkeluar daripada Islam,” tambahnya.

“Jadi, keduanya ada golongan yang agak ektremis. Jadi, saya rasa yang penting, mengadakan dialog ini dan tak semestinya jadi satu mata pelajaran di sekolah.”

Katanya, sebagai negara yang majoriti rakyat bermazhab Sunnah, mereka perlu difahamkan bahawa Syiah salah satu mazhab dalam Islam walaupun terdapat perbezaan dalam aliran tersebut.

“Oleh itu, kita harus tahu, apa perbezaannya,” katanya.

Ditanya siapa yang bertanggungjawab mengadakan sesi dialog tersebut, Syed Farid berkata ia menjadi peranan kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama dan menterinya, Mujahid Yusof Rawa.

Bagaimanapun, beliau percaya, Mujahid akan menolak cadangan tersebut kerana khuatir dengan kecaman daripada individu dan golongan anti-Syiah.

Beliau berkata, badan bukan kerajaan (NGO), badan pemikir bebas dan universiti tempatan boleh mengambil peranan masing-masing bagi menganjurkan dialog tersebut.

Syed Farid menegaskan, beberapa kemungkinan akan berlaku jika dialog antara Sunnah dan Syiah dilambatkan.
Antaranya, prasangka terhadap Syiah semakin meningkat selain salah faham mengenai Islam dalam kalangan bukan Islam di Malaysia.

“Ini akan menyebabkan orang bukan Islam terkeliru dan tidak memahami Islam. Dan dalam kalangan orang Islam sendiri, ada segolongan yang akan membenci Islam.”

Katanya, ini kerana mereka memahami Islam dalam penafsiran yang ekstrem berasaskan prasangka tersebut.