Batal haram wanita masuk stadium bola, Fifa gesa Iran

Sahar Khodayari atau ‘Blue Girl’ membakar dirinya di luar mahkamah selepas dia ditahan kerana menghadiri perlawanan bola dengan menyamar sebagai lelaki. (Gambar Twitter)

ZURICH: Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Gianni Infantino memberitahu Iran sudah tiba masa untuk membenarkan peminat wanita akses ke stadium bola sepak.

Badan bola sepak global itu mengharapkan “perkembangan positif” semasa Tehran menjadi tuan rumah perlawanan bulan depan.

Walaupun wanita asing dibenarkan akses yang terhad mengikuti perlawanan, wanita Iran diharamkan sama sekali dari stadium apabila pasukan lelaki bermain, semenjak 1979 revolusi Islam.

Infantino berkata dalam kenyataan Fifa, beliau berharap persekutuan bola sepak Iran dan pihak berkuasa kerajaan akan menerima “permintaan berulang kami untuk mengatasi keadaan tidak dapat diterima ini.”

Beliau menambah, “kedudukan kami jelas.”

“Wanita perlu dibenarkan masuk ke stadium bola sepak di Iran. Sekarang adalah masanya mengubah keadaan dan Fifa menjangkakan perkembangan positif bermula perlawanan di Iran Okt nanti.”

Dua minggu lalu, Fifa dilaporkan akan melawat Iran selepas kematian peminat bola sepak wanita yang membakar dirinya sebagai protes ketika dia ditahan kerana menghadiri satu perlawanan sukan itu baru-baru ini.

Sahar Khodayari, yang dikenali Blue Girl kerana warna jersi pasukan kegemarannya, Esteghlal, meninggal dunia di hospital selepas membakar dirinya di luar mahkamah di mana dia bimbang dipenjara enam bulan setelah menghadiri perlawanan itu dengan menyamar sebagai lelaki.

Iran, yang telah melayakkan diri ke peringkat akhir Piala Dunia, termasuk dua yang terakhir, menjadi tuan rumah kepada Kemboja pada 10 Okt dalam perlawanan pertama kelayakan 2022 mereka.

Pengkritik berkata statut Fifa sendiri menegaskan diskriminasi atas dasar jantina boleh dihukum dengan penggantungan atau mengeluarkan dari persekutuan.

Ada tanda-tanda keadaan mengenai peminat wanita di Iran berubah ketika sekumpulan wanita dibenarkan menghadiri peringkat kedua final Liga Juara-juara Asia di Tehran pada Nov lalu, di mana Infantino turut hadir.

Peminat wanita, bagaimanapun, telah dinafikan akses kepada perlawanan sejak itu. Semasa perlawanan persahabatan Iran dengan Syria pada Jun, wanita dikurung di Stadium Azadi dan ditahan oleh pasukan keselamatan.

Infantino berkata delegasi FIFA kini berada di Iran.

“Saya tidak sabar untuk mendengar berita baik daripada mereka,” katanya.