Bekas pembantu nafi simpan dokumen 1MDB, Jho Low sebagai ‘insurans’

Bekas pegawai khas Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin.

KUALA LUMPUR: Bekas pembantu Najib Razak nafi dia menyimpan dokumen-dokumen berkenaan 1MDB dan ahli perniagaan Low Taek Jho yang dikehendaki pihak berkuasa sebagai “insurans” terhadap masalah di masa depan.

Amhari Efendi Nazaruddin menjawab peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah yang mencadangkan perkara itu bagi menjelaskan kenapa dia tidak memusnahkan dokumen-dokumen itu seperti yang diarahkan Low.

Shafee menyoal adakah Amhari membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan harapan akan dilayan dengan baik dalam siasatannya.

“Tindakan itu untuk menyalahkan anak guam saya,” tambahnya.

Amhari menafikan perkara itu.

Bekas pegawai khas Najib itu sebelum ini memberitahu mahkamah dia tidak perasan arahan Low untuk menghancurkan beberapa dokumen berkaitan 1MDB, termasuk mengenai usaha samanya dengan Petro Saudi International.

Dokumen-dokumen itu juga mengandungi nota maklumat (talking point) mengenai hutang 1MDB, taklimat untuk Pejabat Perdana Menteri mengenai 1MDB, dan rancangan rasionalisasi 1MDB.

Amhari juga berkata SPRM menyerbu dua premis serta pangsapuri Low semasa Amhari direman pada Jun tahun lepas.

Beliau berkata SPRM merampas dokumen-dokumen itu daripada sebuah pangsapuri di rumah Persiaran Tropicana di Petaling Jaya milik sepupunya.

Ditanya Shafee kenapa dia menyimpan dokumen itu di pangsapuri sepupu dan bukan di rumah sendiri di Kota Damansara, Amhari berkata dia sebelum itu sibuk dengan hal pilihan raya selama beberapa bulan.

“Ketua kakitangan berkata apabila perlu, serahkan dokumen-dokumen itu kepadanya supaya ia boleh difailkan sewajarnya dan mungkin digunakan semula selepas pilihan raya,” katanya.

Beliau menambah dia sibuk dengan urusan kempen pilihan raya Najib di media sosial.

Shafee juga menyoal Amhari adakah dia pemilik Aabar Investments PJS Ltd (BVI) atau Aabar BVI.

Peguam itu menunjukkan beberapa dokumen kepadanya daripada Kepulauan Virgin British di Karibia yang menyatakan Tycoon Gain Ltd, didakwa milik Amhari, mempunyai saham dalam Aabar BVI.

Amhari menafikan perkara itu.

Beliau juga tidak bersetuju apabila Shafee mencadangkan dia bekerjasama dengan Low dan membiarkan Najib mendapat maklumat yang tidak tepat.

Semalam, Amhari memberi keterangan bahawa dia tidak sedar satu tuntutan sivil dibuat terhadap Tycoon Gain di Karibia.

Pendengaran diteruskan dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.

Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan penyalahgunaan kuasa membabitkan dana didakwa milik 1MDB sebanyak RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun AmBank beliau antara Februari 2011 dan Disember 2014.