Eco World catat lonjakan keuntungan bersih 82%

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) melonjak 82% kepada RM50.48 juta pada suku ketiga berakhir 31 Julai 2019 (Q3 2019), daripada RM27.80 juta dicatatkan bagi tempoh sama tahun lepas.

Perolehan meningkat kepada RM521.37 juta daripada RM454.65 juta sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Perkongsian keputusan kumpulan itu dengan syarikat usaha sama Malaysia meningkat sebanyak 39% pada Q3 2019 berbanding pada Q3 2018.

“Peningkatan itu adalah hasil kemajuan kerja dicapai oleh projek-projek Eco Grandeur, Eco Business Park V, Eco Horizon, Eco Ardence dan Bukit Bintang City Centre (BBCC),” katanya.

Sementara itu bagi usaha sama antarabangsanya, Eco World International Bhd, meningkat kira-kira 4.5 kali pada Q3 2019 berbanding pada Q3 2018.

“Ini terutamanya dipacu penyiapan dan penyerahan unit-unit kepada pelanggan oleh EcoWorld Ballymore dan pelaksanaan pengiktirafan perolehan dan keuntungan daripada pembangunan Bina untuk Sewa EcoWorld London,” katanya.

Kumpulan itu berkata pelancaran barunya dijadual akan giat diperkenalkan kepada pasaran dalam tempoh beberapa bulan akan datang ketika kumpulan berusaha untuk mencapai sasaran jualan dua tahun sebanyak RM6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Okt 2019 (FY2019) dan FY2020.