Hutan terbakar: Dr M tak tahu kenapa Jokowi tak sedia terima bantuan Malaysia

(Gambar Reuters)

PUTRAJAYA: Malaysia tidak pernah bertanya Indonesia kenapa ia tidak menerima tawaran untuk membantunya menangani kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata Malaysia menawarkan bantuan kepada Indonesia kerana mempunyai peralatan pengeboman air.

Ditanya pada sidang akhbar mengenai kenapa Presiden Indonesia Joko Widodo tidak bersedia menerima tawaran Malaysia, Mahathir berkata: “Saya tidak tahu kenapa.”

“Tanya kenapa anda tidak mahu menerima bantuan kami? Saya belum melakukannya. Kenapa anda tidak bertanya (pada Joko)?” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) hari ini.

Ditanya bagaimana Malaysia akan mengawal masalah jerebu, perdana menteri berkata: “Kami berdoa agar hujan turun. Kita telah melakukan pembenihan awan dan meminta orang ramai memakai topeng muka.”

Ditanya mengenai kos yang terlibat dalam pembenihan awan, Mahathir berkata beliau tidak menerima maklumat mengenai kosnya.

“Tetapi kami menerima cadangan sekarang supaya menggunakan dron untuk membentuk hujan buatan. Kita boleh menggunakan beberapa dron, bukan satu di kawasan tertentu,” katanya.

Jerebu yang berpunca daripada kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan di Indonesia melanda beberapa kawasan di Malaysia yang dibawa angin Monsun Barat Daya.