Indonesia gubal undang-undang tangani seks luar nikah, hina presiden

Indonesia bakal memperkenalkan kanun keseksaan menangani seks luar nikah. Ia dijangka diluluskan minggu depan. (Gambar Reuters)

JAKARTA: Indonesia bakal memperkenalkan kanun keseksaan baru yang mengkategorikan hubungan seks luar nikah sebagai satu jenayah dan pada masa sama memperkenalkan hukuman berat ke atas mereka yang menghina presiden.

Kumpulan hak asasi manusia mengkritik langkah itu sebagai ancaman ke atas kebebasan bersuara.

Indonesia negara majoriti Muslim di dunia dan memiliki minoriti Kristian, Hindu dan Buddha yang ramai tetapi trend baru-baru ini menunjukkan ia menuju ke arah ketaksuban agama lebih dalam dan aktivisme Islam yang konservatif.

Kanun jenayah baru itu akan diguna pakai pada minggu depan selepas parlimen dan kerajaan bersetuju dengan draf terakhir semalam, empat anggota parlimen memberitahu Reuters.

Para penggubal undang-undang memberitahu Reuters kanun keseksaan baru, yang akan menggantikan set undang-undang era kolonial Belanda, adalah ungkapan melepasi kemerdekaan dan keagamaan di Indonesia.

“Kerajaan mesti melindungi rakyat dari tingkah laku yang bertentangan dengan ajaran tertinggi Allah,” kata Nasir Djamil, seorang ahli politik dari Partai Keadilan Sejahtera.

Beliau berkata para pemimpin semua agama telah dirunding mengenai pindaan itu dengan bersandarkan ideologi pembentukan Indonesia berdasarkan prinsip kepercayaan kepada Tuhan.

Di bawah undang-undang baru ini, pasangan belum berkahwin “tinggal bersama sebagai suami dan isteri” boleh dipenjara enam bulan atau didenda maksimum 10 juta rupiah (kira-kira RM3,000), yang merupakan gaji tiga bulan bagi kebanyakan rakyat Indonesia.

Pendakwaan dapat diteruskan jika ketua kampung, merupakan tahap paling rendah dalam sistem kerajaan, mengemukakan aduan kepada polis, dan ibu bapa atau anak-anak tertuduh tidak membantah. Ibu bapa, kanak-kanak dan pasangan juga boleh membuat aduan.

Kuasa baru bagi ketua kampung diperkenalkan kerana “mangsa perzinaan juga anggota masyarakat”, kata seorang ahli parlimen, Teuku Taufiqulhadi.

Kritikan

Institut Pembaharuan Keadilan Jenayah, sebuah badan bukan kerajaan memberitahu berjuta-juta orang Indonesia akan terjejas di bawah undang-undang baru. Menurutnya satu kajian menunjukkan 40 peratus remaja Indonesia terlibat dalam aktiviti seks sebelum berkahwin.

Tim Lindsey, pengarah Pusat Undang-undang Indonesia, Islam dan Masyarakat, Universiti Melbourne memberitahu perkembangan ini merupakan satu pengukuhan konservatisme.

“Ia sangat regresif,” kata beliau.

Istilah penjara maksimum setahun juga boleh digunakan untuk orang yang melakukan hubungan seks dengan seseorang yang bukan pasangannya dan anggota keluarga dekat yang membuat aduan. Undang-undang juga memberi impak kepada aktiviti homoseksual memandangkan perkahwinan gay tidak diiktiraf di Indonesia.

Kanun ini juga menetapkan syarat penjara bagi mereka yang didapati melakukan “perbuatan lucah”, yang ditakrifkan sebagai melanggar norma kesopanan dan kesusilaan melalui “hawa nafsu atau seksualiti”, sama ada oleh pihak yang mengamalkan heteroseksual atau gay.

Undang-undang baru juga akan merangkumi rakyat asing. Bagaimanapun, ditanya sama ada pelancong di Indonesia boleh menghadapi penjara kerana seks luar nikah, Taufiqulhadi berkata: “Tidak ada masalah, selagi orang tidak tahu.”

Hukuman penjara maksimum empat tahun akan dikenakan ke atas wanita terlibat dalam pengguguran, jika ia bukan kes perubatan atau rogol. Kanun ini memperkenalkan denda ke atas mereka mempromosikan kontrasepsi, dan penjara selama enam bulan bagi perbincangan tanpa izin mengenai “alat pengguguran”.

Di samping itu, pihak berkuasa tempatan akan memperoleh kebebasan lebih besar untuk memperkenalkan hukuman kerana melanggar undang-undang adat yang tidak tertakluk dalam kanun jenayah. Terdapat lebih 400 peraturan tempatan yang dikatakan oleh aktivis sebagai melarang hak-hak sivil, seperti memakai hijab.

Sementara itu, parlimen telah memperkenalkan semula kesalahan “menyerang kehormatan atau martabat” presiden dan naib presiden Indonesia. Undang-undang yang sama telah diketepikan oleh Mahkamah Perlembagaan pada 2006, dan versi baru juga mungkin dicabar oleh aktivis hak asasi manusia.

Menghina institusi kerajaan dan negara juga membawa hukuman penjara.