Jauhi pilihan raya presiden atau hadapi risiko mati, Taliban beri amaran

Anggota delegasi Taliban, diketuai ketua perunding Mullah Abdul Ghani Baradar (tengah, depan) meninggalkan lokasi perundingan damai di Moscow, Rusia pada 30 Mei 2019. (Gambar Reuters)

KABUL: Taliban memberi amaran kepada guru, pelajar dan kakitangan pendidikan mengelak dari terlibat dalam pemilihan presiden akhir bulan ini atau bersedia untuk menghadapi risiko mati dalam serangan ke atas pusat-pusat pengundian.

“Jangan biar pihak mengurus pemilihan menjadikan sekolah dan institusi anda sebagai pusat pengundian dan guru dan pelajar tidak boleh bertindak sebagai pekerja pilihan raya,” kata kenyataan Taliban dikeluarkan semalam.

“Kami tidak mahu menyebabkan kehilangan nyawa dan kerugian kewangan membabitkan orang awam, guru dan pelajar,” katanya.

Dalam 10 hari lagi, Afghanistan akan mengadakan pemilihan presiden keempat sejak Amerika Syarikat (AS) menewaskan puah Taliban pada 2001.

Pemberontak bertekad mengganggu proses pengundian susulan terkuburnya perundingan damai antara Taliban dan AS yang sepatutnya diadakan minggu lalu.

Sekolah dan universiti merupakan antara tujuh hingga lapan daripada setiap 10 pusat mengundi di seluruh negara itu, dan walaupun tidak ada pelajar, guru atau pegawai pendidikan yang dilantik sebagai pekerja pilihan raya.

Bagaimanapun mereka boleh menjadi sukarelawan, kata Abdul Aziz Ibrahimi, jurucakap suruhanjaya pilihan raya Afghanistan.

“Kami komited untuk mengadakan pilihan raya pada tarikh yang telah diumumkan, dan ancaman Taliban tidak dapat menghalang kami daripada mengadakan pemilihan,” kata jurucakap itu.

Kementerian pendidikan tidak dapat dihubungi untuk ulasan tetapi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan pihak penderma antarabangsa telah memintanya bagi membantu proses pengurusan pilihan raya kerana infrastrukturnya agak maju.

Pada Selasa, penyerang Taliban membunuh hampir 50 orang dalam kejadian pengeboman bunuh diri yang berasingan, menyasarkan kempen pemilihan pihak penyandang Presiden Ashraf Ghani yang mahu mempertahankan jawatannya untuk penggal kedua.

Keselamatan di seluruh negara telah diperketakan susulan ancaman Taliban untuk menyerang tempat mesyuarat dan pusat mengundi. Kumpulan itu bersumpah untuk memperhebatkan serangan ke atas pasukan keselamatan Afghanistan dan asing bagi menghalang orang ramai daripada mengundi.