Jerebu di Sarawak makin teruk, 5 kawasan sangat tidak sihat setakat 6 pagi

Keadaan berjerebu di Sarawak bertambah teruk manakala di Putrajaya dan ibu negara bertambah baik.

PETALING JAYA: Tiga lagi lokasi di Sarawak terkesan dengan keadaan berjerebu setakat 6 pagi tadi, menjadikan keseluruhan lima kawasan di negeri itu mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat, menjadikan keadaan semakin teruk.

Ketiga-tiga kawasan itu ialah Sibu (231), Sarikei (221) dan Samarahan (229). Dalam pada itu, Sri Aman mencatatkan paras 207 manakala Kuching 269.

Johan Setia Klang merekodkan perubahan sedikit iaitu paras 197 berbanding 7 petang semalam 256.

Petang Jaya dan Shah Alam yang mencatatkan paras melebih 200 setakat 7 petang semalam, keadaan di kawasan masing-masing bertambah baik iaitu 170 dan 159.

Di Pulau Pinang, Balik Pulau kekal sangat tidak sihat iaitu 221. Mindan mencatatkan paras
170 berbanding 227 pada 7 petang semalam.

Keadaan kualiti udara di Putrajaya, Petaling Jaya, Batu Muda dan Cheras bertambah baik, masing-masing 152, 170, 160 dan 151.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan, dalam kenyataan malam tadi memaklumkan sebanyak 2,459 sekolah ditutup hari ini melibatkan keseluruhan 1,732,842 pelajar di enam negeri dan dua wilayah persekutuan.

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional memaklumkan penangguhan program Sambutan Minggu Perpaduan 2019 yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini di Dataran Merdeka ekoran keadaan jerebu yang mencatat bacaan IPU yang sangat tidak sihat di ibu negara.

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Siti Zaharah Ishak dipetik Bernama menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati dalam keadaan jerebu bagi mengelakkan kemalangan.

“Pakai pakaian yang berwarna terang atau jaket pemantul cahaya ketika menunggang (motosikal), berhenti di tempat yang selamat seperti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) atau di tempat yang dikhaskan untuk berhenti sekiranya tidak selamat untuk meneruskan perjalanan.

“Pejalan kaki pula perlu sedar bahawa pemandu atau penunggang (motosikal) mungkin tidak dapat melihat mereka. Justeru, pejalan kaki disaran untuk peka terhadap keadaan sekeliling dan hanya melintas di tempat yang ditetapkan,” kata beliau.