Jika Kabinet terima, gagasan Rahmatan Alamin jadi dasar baru kerajaan, kata Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof berkata, kertas kerja gagasan Rahmatan Lil Alamin sudah mendapat kelulusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan Majlis Raja-raja.

KUALA LUMPUR: Gagasan Rahmatan Lil Alamin sekiranya diterima jemaah menteri akan menjadi satu dasar baru kerajaan dalam membawa Malaysia melangkah ke depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof berkata, kertas kerja gagasan itu dijangka dibentang dalam mesyuarat Kabinet selewat-lewatnya bulan depan dan jika diterima akan menjadi satu dasar baru kerajaan dalam membentuk masa hadapan Malaysia.

“Sebelum ini, kertas kerja ini sudah mendapat kelulusan mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan mesyuarat Majlis Raja-raja.

“Justeru, apabila jemaah menteri terima ini sebagai dasar pentadbiran Islam hari ini, maka Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) akan lancarkan dasar pentadbiran baru berdasarkan Rahmatan Lil Alamin dan ia akan diterjemahkan dalam pembentangan Belanjawan 2020 pada Oktober ini,” katanya ketika melancarkan Seminar Antarabangsa Rahmatan Lil Alamin di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).

Mujahid juga percaya pada tahun hadapan, gagasan itu akan disebarluaskan kepada semua peringkat, termasuk di universiti, kementerian, pegawai kerajaan, sekolah dan pihak berkepentingan.

Mengenai seminar antarabangsa yang dihadiri wakil dari Indonesia, Brunei, Thailand dan Singapura itu Mujahid berkata, ia adalah usaha kerajaan untuk memberi pendedahan dan memastikan konsep itu diterima semua pihak.

Hasil resolusi daripada seminar yang dianjurkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersama UIAM itu akan dibuku dan disebarkan ke peringkat antarabangsa.

Pada tahun lepas Mujahid mengumumkan pendekatan Rahmatan Lil Alamin, maqasid syariah dan model Malaysia untuk dijadikan polisi bagi semua agensi dalam usaha membentuk citra baru Malaysia pada masa hadapan.