Kedutaan di Beijing, Abu Dhabi tak tahu lawatan berkait 1MDB, kata bekas pembantu Najib

Najib Razak menemui penyokongnya di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Bekas pembantu Najib Razak hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, Kedutaan Malaysia di Beijing dan Abu Dhabi tidak tahu ketibaan utusan khas perdana menteri untuk membincangkan perkara berkaitan 1MDB dengan pihak berkuasa negara itu.

Amhari Efendi Nazaruddin yang merupakan bekas pegawai khas Najib, berkata lawatan itu dianggap misi rahsia.

“Untuk lawatan ke China, ia adalah pendahulu kepada lawatan rasmi Najib ke negara itu pada 2016,” katanya ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Gopal Sri Ram.

Amhari dalam pemeriksaan utama berkata, beliau ke Beijing untuk mengadakan rundingan mengenai projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) untuk “menyelamatkan” 1MDB yang dibebani hutang.

Amhari Efendi Nazaruddin ialah saksi pendakwaan kelapan dalam perbicaraan 1MDB Najib Razak.

Saksi pendakwaan kelapan itu berkata, Malaysia mempunyai kedutaan di Beijing dan Wisma Putra diamanahkan hal ehwal luar negara oleh Putrajaya.

Amhari berkata, lawatannya ke Abu Dhabi juga tidak diketahui pegawai kedutaan di sana.

Beliau ke ibu negara Emiriyah Arab Bersatu itu pada 2016 untuk menghalang 1MDB didakwa di mahkamah kerana gagal membayar bon yang dijamin International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 2012 untuk pengambilalihan dua loji janakuasa.

Saksi itu berkata, perbincangan untuk lawatan itu diadakan di rumah peribadi Najib di Langgak Golf.

“Selepas pulang daripada lawatan itu, saya melaporkan hasilnya kepada Najib.”

Katanya, penjawat awam biasanya membuat tuntutan selepas pulang daripada tugasan luar negara.

“Tetapi, bagi lawatan China (Beijing) dan Abu Dhabi, Najib membayar wang tunai kepada saya yang jumlahnya mencecah ribuan ringgit kerana ini adalah misi rahsia.”

Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan penyalahgunaan kuasa membabitkan dana 1MDB yang didakwa dimasukkan ke akaun AmBank beliau.

Beliau didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapat rasuah RM2.28 bilion pada Februari 2011 hingga Disember 2014.

Ahli Parlimen Pekan itu turut dikatakan memindahkan RM2.28 bilion dana haram ke akaun banknya dan kemudian menggunakan wang itu.

Perbicaraan di depan Hakim, Collin Lawrence Sequerah disambung Isnin depan.