Kehamilan pelindung wanita daripada hidapi kanser ovari

Kanser ovari antara penyakit paling banyak membawa maut berbanding kanser lain yang menyerang sistem reproduktif wanita.

Pada awalnya ia menunjukkan simptom yang sedikit dan ia sukar untuk dikesan sehinggalah kanser tersebut merebak.

Salah satu faktor risiko adalah ia bergantung kepada sejarah kehamilan wanita.

Banyak kajian menunjukkan bahawa wanita yang tidak mempunyai anak atau melahirkan anak pada usia lewat lebih berisiko menghidapi kanser ovari.

Ini kerana semakin banyak wanita terdedah kepada estrogen dalam hidupnya, lebih tinggi risikonya menghidapi kanser ovari.

Menurut pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Aron Schuftan kehamilan boleh dianggap sebagai “pelindung’’ kerana tempoh ini akan memberi wanita rehat daripada proses ovulasi atau pendedahan kepada estrogen.

Jelasnya lagi risiko ini akan berkurang lagi jika wanita menyusukan anak dengan susu badan.

Tambah Aron lagi hipotesis yang lain pula adalah apabila wanita berovulasi, penyebaran corpus luteum (sista berasal daripada telur yang dibuang) boleh menyebabkan mutasi genetik lalu mengakibatkan kanser ovari.

“Kanser ovari boleh terjadi akibat banyak faktor. Pertama sekali, wanita yang menopaus selepas usia 50 tahun (dan yang terdedah lebih lama kepada estrogen) serta wanita yang berusia lebih daripada 63 tahun lebih berisiko menghidapi kanser ovari.

“Selain itu, wanita obesiti (BMI melebihi 30) juga berisiko tinggi kerana tisu adipose (lemak) boleh bertukar kepada estrogen yang berlebihan dalam badan. Risiko kanser ovari akan menurun jika wanita mengambil pil perancang dalam tempoh 3 hingga 6 bulan (progestin sahaja),” katanya di portal hellodoktor.com.

Tambahnya lagi, genetik juga memainkan peranan penting dalam kanser ovari (kemungkinan boleh datang daripada kedua-dua belah ibu dan bapa).

“Sejarah keluarga yang mempunyai kanser payu dara atau kanser kolorektal juga menjadi faktor peningkatan risiko kanser ovari kerana mutasi beberapa gen yang spesifik adalah punca utama kesemua jenis kanser,” ujarnya.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah Wanita Yang Memilih Untuk Tidak Hamil Lebih Berisiko Menghidapi Kanser Ovari?

 

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]