Kes asma, konjuntivitis meningkat kerana jerebu

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata bilangan kes penyakit asma dan konjuntivitis didapati semakin meningkat berdasarkan pemantauan daripada 31 klinik sentinel jerebu.

KUALA LUMPUR: Bilangan kes penyakit asma dan konjuntivitis didapati semakin meningkat berdasarkan pemantauan daripada 31 klinik sentinel jerebu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata terdapat peningkatan penyakit asma sebanyak 15.8 peratus daripada 1,187 kepada 1,375 kes pada minggu epid (ME) 37 iaitu pada 8 hingga 14 Sept lepas berbanding dengan purata ME 27 hingga ME 36 (30 Jun hingga 7 Sept 2019).

Kes penyakit konjungtivitis pula meningkat 24.9 peratus daripada 253 kepada 317 kes dalam tempoh sama manakala penyakit jangkitan saluran pernafasan menunjukkan penurunan 17.3 peratus (7,551 kepada 6,245 kes).

“Orang ramai terutama golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua, perokok, mereka yang sentiasa terdedah dengan udara luar dan mereka mengalami penyakit seperti asma, bronkitis, radang paru-paru, sakit jantung dan alahan dinasihatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan sentiasa bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan dalam menguruskan kejadian tersebut dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Katanya orang ramai juga dinasihatkan, antaranya mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah, dan selari dengan saranan dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, penganjuran melibatkan aktiviti fizikal di luar bangunan dinasihatkan supaya ditangguhkan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.

Orang ramai juga dinasihatkan menutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan, memasang alat pendingin hawa dan penapis udara serta elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan.

Banyakkan minum air, gunakan penutup hidung dan mulut apabila melakukan aktiviti luar rumah, kerap membasuh muka dan bahagian badan terdedah kepada jerebu dan awasi kesihatan anak-anak kecil dan mereka yang menghidap penyakit respiratori dan jantung kerana golongan itu lebih mudah terjejas akibat pendedahan kepada jerebu.

Orang ramai boleh mendapatkan langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu menerusi laman sesawang Kementerian Kesihatan di http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183.