Kesatuan kakitangan am universiti awam bantah gabungan UMT, UniSZA

SERDANG: Kerajaan seharusnya menambah bilangan universiti bagi menampung keperluan pendidikan rakyat dan bukan bertindak sebaliknya dengan menggabungkan universiti sedia ada, kata Presiden Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti Malaysia (Gakum) Zulkifli Mohamad.

Katanya, sebanyak 20 kesatuan kakitangan am universiti awam tidak bersetuju cadangan penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan meminta kerajaan mengkaji semula perkara itu.

Beliau turut mendakwa Gakum juga tidak dimaklumkan berkenaan cadangan tersebut sebelum persetujuan dicapai secara prinsip oleh Kabinet pada 4 Sept lepas.

“Pihak kesatuan khususnya di peringkat dua universiti terbabit dan Gakum sebagai kumpulan pelaksana juga tidak dipanggil di peringkat awal perbincangan mengenai penggabungan tersebut.

“Tiba-tiba keluar (berita) dalam surat khabar tentang hal ini dan ia begitu mengejutkan. Perkara ini sangat besar kerana melibatkan pendidikan…ini tidak adil namanya sedangkan membangunkan universiti kena bersama yang melibatkan peringkat atas dan bawah,” katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat khas Gakum yang dihadiri 20 kesatuan universiti awam antaranya Kesatuan Kakitangan Sokongan Satu International Islamic University Malaysia (IIUM), di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Zulkifli berkata satu deklarasi atau petisyen akan ditandatangani oleh 20 kesatuan universiti awam termasuk Sabah dan Sarawak, untuk memohon mengadakan perjumpaan bersama Menteri Pendidikan Maszlee Malek secepat mungkin bagi membincangkan soal itu.

Pada 4 Sept lepas, Kabinet bersetuju secara prinsip berhubung penggabungan UMT dan Unisza yang bertujuan untuk memantapkan keupayaan kedua-dua universiti itu dalam meningkatkan kedudukan sosio ekonomi selaras dengan lonjakan 10 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.

Susulan itu, beberapa pihak termasuk ribuan pelajar kedua-dua buah universiti itu menyuarakan bantahan terhadap cadangan tersebut, kerana bimbang langkah itu akan menghilangkan identiti serta membantutkan misi dan visi kedua-dua universiti berkenaan yang berbeza.

Dalam perkembangan lain, Gakum juga memohon agar kerajaan mengkaji semula cadangan pemansuhan skim tetap dan berpencen yang akan digantikan dengan skim lantikan kontrak.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Borhan Dolah dilaporkan berkata langkah menghentikan skim tersebut diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa khas pembaharuan perkhidmatan awam pada Oktober 2018, yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa dan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion.