Lelaki gurau bawa bom ditahan di Lapangan Terbang Miri

Polis berkata, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan ketika mendaftar masuk di Lapangan Terbang Miri pada 8.10 pagi tadi. (Gambar Facebook)

MIRI: Seorang lelaki tempatan ditahan polis di Lapangan Terbang Miri kerana bergurau membawa bom.

Ketua Polis Daerah Miri, Lim Meng Seah berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan ketika mendaftar masuk untuk penerbangan ke Kuala Lumpur pada 8.10 pagi tadi.

“Suspek ditanya sebanyak tiga kali sama ada membawa ‘powerbank’, namun dijawab dengan jawapan sama, iaitu ada bawa bom,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata, atas faktor keselamatan, kakitangan di kaunter syarikat penerbangan murah meminta anggota keselamatan menahan suspek dan membawanya ke balai polis Lapangan Terbang Miri.

“Pemeriksaan ke atas bagasinya mendapati dakwaan suspek membawa bom tidak benar,” katanya sambil menambah suspek direman petang ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.