Penerbangan dari Subang, Ipoh ke Singapura dan Johor batal akibat jerebu

Pada Jumaat lepas, seramai 549 penumpang terkandas di LTSAS Ipoh berikutan tiga penerbangan tergendala akibat jerebu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Beberapa penerbangan ke Johor dan Singapura terpaksa dibatalkan akibat jerebu yang menyebabkan jarak penglihatan terhad.

Tiga penerbangan Firefly dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang ke Lapangan Terbang Seletar di Singapura terpaksa dibatalkan.

FMT difahamkan Firefly akan memaklumkan perkembangan terkini kepada penumpang terjejas dan akan mengatur penerbangan ke Lapangan Terbang Changi di Singapura, jika perlu.

Bernama pula melaporkan semua penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh, Perak turut dibatalkan hari ini.

Pengurus LTSAS, Mohd Ali Osman berkata, ia membabitkan penerbangan AirAsia bagi laluan Singapura-Ipoh-Johor Bahru, penerbangan Malindo laluan Ipoh-Johor Bahru-Ipoh dan syarikat penerbangan tambang murah Singapura, FlyScoot untuk laluan Singapura-Ipoh-Singapura.

“Enam penerbangan melibatkan 12 pergerakan pergi dan balik ke Singapura dan Johor Bahru tidak dapat beroperasi lagi hari ini berikutan keadaan jerebu.

“Dua penerbangan dibatalkan pada pagi ini sejak 9.45 pagi tadi,” katanya sambil menambah jarak penglihatan ialah 2,500, pada awal pagi tadi.

Bagaimanapun, tiada penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), klia2 atau Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang dibatalkan hari ini.

Sementara itu, tiga pesawat yang dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sibu terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Miri kerana keadaan berkabus dan awan rendah.

Pengurus Malaysia Airports Sdn Bhd Sibu, Zainuddin Abu Nasir dipetik Bernama berkata, ia membabitkan dua penerbangan AirAsia dari Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur, serta sebuah pesawat MasWings dari Bintulu.

Katanya, penerbangan dari Kota Kinabalu yang membawa 78 penumpang itu diarah membuat lencongan pada 7.30 pagi tadi, penerbangan dari Kuala Lumpur dengan 106 penumpang pada 7.55 pagi dan penerbangan dari Bintulu dengan 17 penumpang pada 8 pagi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak dalam laporannya berkata, jarak ketampakan akibat jerebu di Sibu ialah 0.8km berbanding kebiasaan 10km.

Timbalan Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Sarawak, Wong Ding Hook memberitahu Bernama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching beroperasi seperti biasa tanpa sebarang pembatalan penerbangan, walaupun bacaan Indeks Pencemaran Udara mencatatkan 272.

Jerebu yang melanda Malaysia baru-baru ini menyebabkan 2,459 sekolah di enam negeri dan dua wilayah persekutuan ditutup dua hari sehingga esok kerana bacaan IPU melebihi 200.