Mahkamah Mumbai keluar waran tidak boleh jamin baru ke atas Zakir Naik

Dr Zakir Naik menetap di Malaysia selepas meninggalkan India pada 2016.

PETALING JAYA: Sebuah mahkamah khas di Mumbai semalam mengeluarkan waran baru yang tidak boleh jamin (NBW) ke atas penceramah warga India Dr Zakir Naik.

Waran tersebut berkait dakwaan kes pengubahan wang pada 2016, lapor NDTV.com.

Portal berita India itu berkata, waran berkenaan dikeluarkan oleh hakim mahkamah Akta Pencegahan Pengubahan Wang (PMLA) PP Rajvaidya berikutan rayuan yang difailkan oleh Direktorat Penguatkuasaan (ED) yang menyiasat kes tersebut.

Ia melaporkan Naik, melalui peguamnya, mengemukakan rayuan meminta tempoh dua bulan untuk hadir ke mahkamah berkenaan. Rayuan itu bagaimanapun ditolak. Pada Isnin, ED memfailkan rayuan baru bagi mendapatkan NBW.

Portal berita itu berkata, ED mendakwa telah mengenal pasti wang berjumlah 193.06 crore rupee (RM113.4 juta) sebagai hasil jenayah dalam kes 2016.

Naik, 53, seorang penceramah TV popular meninggalkan India pada 2016 dan berpindah ke negara ini. Beliau kini merupakan seorang pemastautin tetap di Malaysia.

Pada 2016 ED menyaman Naik berdasarkan laporan yang difailkan oleh Agensi Penyiasatan Kebangsaan (NIA) di bawah Akta Pencegahan Aktiviti Tidak Sah (UAPA).

Pendakwah itu dikehendaki kerana dakwaan pengubahan wang dan mengapi-apikan ekstremisme melalui ucapan kebencian.

Sebelum ini satu NBW dikeluarkan ke atasnya berkait satu kes pengubahan wang.

NDTV.com berkata, pada Julai tahun ini, mahkamah mengeluarkan satu saman terhadap Naik selepas mengambil kira aduan yang difailkan oleh ED terhadap peniaga barang kemas berpangkalan di Dubai, Abdul Kadir Najmudin Sathak atas dakwaan membantu penceramah berkenaan mengumpulkan dan menggelapkan dana.

Terdahulu ED menyita hartanah milik Naik, termasuk Sekolah Islam Antarabangsa di Chennai, 10 flet, tiga gudang, dua bangunan dan tanah di Pune dan Mumbai, selain akaun bank.