Kes Maria Chin didakwa hina mahkamah, keputusan 14 Oktober

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah di sini akan membuat keputusan pada 14 Okt sama ada pengerusi Kumpulan Naza SM Faisal SM Nasimuddin boleh memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berhubung kritikannya terhadap keputusan mahkamah berkenaan untuk memenjarakan bekas isteri ahli perniagaan itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Mohamed Fouzi Mokhtar menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar permohonan ex-parte Faisal terhadap Maria kerana menunjukkan sikap tidak menghormati mahkamah.

Beliau memfailkan permohonan tersebut minggu lepas berikutan kenyataan media Maria bertajuk “Emilia Faisal Hanifis’s sentencing proves injustice against Muslim women still exists in the legal system”.

Dalam kenyataan pada 5 Sept itu, Maria merujuk kepada hukuman penjara tujuh hari yang dijatuhkan ke atas Emilia dan mendakwa sistem kehakiman mahkamah syariah mendiskriminasi wanita Islam.

Peguam Faisal Akberdin Abdul Kader berhujah bahawa komen Maria boleh menimbulkan keraguan terhadap sistem kehakiman syariah kerana beliau memegang jawatan awam.

“Responden (Maria) adalah seorang ahli Parlimen dan beliau patut tahu undang-undang (negara).

“Beliau tidak harus membuat komen berat sebelah tanpa terlebih dahulu memeriksa kes itu lebih lanjut,” kata Akberdin.

Peguam itu juga berkata, Maria, bekas pengerusi badan pemantau pilihan raya Bersih, tidak menunjukkan kekesalan berhubung kenyataan itu atau menarik balik komentarnya.

Peguam Sulaiman Abdullah dan Rafie Mohd Shafie turut mewakili Faisal.

Pada 4 Sept, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur menjatuhi hukuman penjara tujuh hari ke atas Emilia kerana menjadualkan semula tarikh lawatan anak mereka secara sebelah pihak.

Beliau dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah.

Pasangan itu bercerai pada 2016 dengan Emilia mendapat hak penjagaan penuh ke atas tiga anak mereka iaitu Fawwaz, Faiz dan Farhan. Faisal diberikan hak lawatan.