
WASHINGTON: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Rabu berkata, pakar badan dunia itu berlepas ke Arab Saudi untuk menyiasat serangan dron ke atas loji minyak utama negara tersebut yang berlaku hujung minggu lepas, lapor agensi berita Turki Anadolu.
Pakar terbabit yang diberi kuasa oleh Jabatan Hal Ehwal Politik dan Pembinaan Keamanan (DPPA) “akan melakukan tugasan mereka berdasarkan mandat yang diberikan Majlis Keselamatan,” kata Guterres kepada pemberita pada satu sidang akhbar.
Guterres berkata, serangan pada Sabtu adalah satu “peningkatan yang dramatik” di rantau Teluk itu.
AS menuding jari kepada Iran yang didakwa melancarkan serangan ke atas loji minyak syarikat Aramco milik Arab Saudi yang menjejaskan output minyak negara itu.
Pemberontak Houthi di Yaman mengaku melancarkan serangan itu.
Iran bagaimanapun menafikan sebarang penglibatan dalam serangan itu, meskipun ketegangan semakin memuncak susulan spekulasi pembalasan dari AS dan sekutunya.
“Kita menyaksikan kesan segera terhadap pasaran minyak, maka jika berlaku satu konfrontasi besar di rantau Teluk, ia akan membawa kesan yang buruk kepada rantau ini dan global,” kata Guterres.