Pelantikan pemimpin masyarakat hak kami, tegas Sarawak

Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek Sarawak, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

KUCHING: Putrajaya tidak seharusnya mencampuri pelantikan pemimpin-pemimpin masyarakat di Sarawak, kata Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek Negeri, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali hari ini.

Beliau menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Persekutuan Sivarasa Rasiah baru-baru ini bahawa kerajaan persekutuan akan meneruskan pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Sarawak sebagai “tidak sesuai”.

Sivarasa berkata mereka akan meneruskan pelantikan-pelantikan itu walaupun dibantah kerajaan Sarawak.

Katanya, rancangan untuk menubuhkan majlis-majlis itu gagal dilaksanakan di Sarawak tahun lepas.

Kerajaan persekutuan, katanya, akan melantik pengerusi MPKK dan tidak akan menggantikan ketua-ketua masyarakat yang dilantik kerajaan negeri bawah Ordinan Ketua Masyarakat & Ketua Kaum 2004.

Majlis-majlis yang dilantik oleh Putrajaya itu akan membantu mendayakan pentadbiran di peringkat kampung, disamping memastikan program-program kerajaan negeri dinikmati semua rakyat di peringkat akar umbi.

Sharifah berkata Sarawak sudah meluluskan Ordinan Ketua Masyarakat & Ketua Kaum 2004.

“Jadi sudah jelas kerajaan negeri mempunyai kuasa dan hak mutlak melantik ketua-ketua masyarakat.

“Saya tidak mahu berspekulasi mengenai niatnya tetapi kebenarannya adalah kuasa terletak pada negeri.

“Kami ada ordinan dan undang-undang tersendiri.

“Kalau tiada undang-undang pun, apa sahaja berkenaan Sarawak mesti menerusi kerajaan negeri,” katannya.