Pemuda sambut baik Zahid kembali pimpin Umno

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki.

PETALING JAYA: Pemuda Umno menyambut baik Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi kembali memimpin parti itu selepas “berehat” selama 6 bulan.

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya tiada isu dengan kemunculan semula Zahid yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk kerana parti itu semakin stabil dan ia tidak salah mengikut perlembagaan parti.

“Ketika Zahid kembali, sudah ada isu-isu lain seperti ketidakpuasan hati terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Dan kita dapat lihat semua di dalam Umno memutuskan kita perlu bersatu untuk menangani kebimbangan rakyat,” katanya kepada FMT.

Pada 30 Jun lalu, Zahid mengumumkan akan kembali aktif memimpin parti itu selepas bercuti selama 6 bulan.

Zahid membuat pengumuman itu pada satu majlis Hari Raya di Sungai Sumun di Perak, bersempena 1 tahun beliau dipilih sebagai presiden Umno.

Beliau mengingatkan khalayak bahawa beliau dipilih, bukannya dilantik sebagai presiden Umno setahun yang lalu.

Zahid kini berdepan 87 pertuduhan di mahkamah membabitkan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram.

Mengulas lanjut, Asyraf mengakui sebelum ini ada pihak yang meminta Zahid bercuti bagi menumpukan kes mahkamahnya.

Asyraf tidak menolak ada yang menganggap Pemuda menekan Zahid untuk bercuti dan tidak lagi berminat memimpin parti itu.

Beliau bagaimanapun berkata perkara itu tidak betul dan gesaan Zahid untuk bercuti dibuat dengan niat yang baik untuk memulihkan parti pada waktu itu daripada kerosakan.

Asyraf berkata apabila Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan ambil alih persepsi terhadap parti itu berubah.

Katanya, Umno kini sudah semakin “solid” dan kehadiran Zahid pada masa ini dilihat satu perkara yang positif.

“Ini adalah tanda Umno untuk ke hadapan dan bukannya menumpukan kepada masalah secara puak dalam parti.

“Dan rakyat menjangkakan Umno lebih bersuara dan menjadi pembangkang yang lebih berkesan dan boleh dipercayai,” katanya.

Berani suarakan pandangan

Asyraf berkata Pemuda Umno perlu menjadi satu pihak yang terus lantang dan mengkritik jika kerajaan masa ini melakukan kesalahan.

Katanya, kerjasama dengan PAS, Sabtu lalu juga menjadikan peranan Pemuda Umno bersama Pemuda PAS dalam menyuarakan pandangan bagi pihak pembangkang.

“Sayap Pemuda mesti sentiasa bersiap untuk bercakap bagi pihak rakyat, di mana kredit diberikan apabila ia perlu dan di mana keperluan yang salah perlu diperbetulkan,” katanya.

Asyraf berkata beliau sentiasa bercakap semasa mesyuarat majlis tertinggi parti dan kepimpinan tertinggi dan menerima kritikan dengan hati terbuka.

“Adalah penting sebagai pembangkang, kita perlu belajar dari kesilapan kita dahulu dan apabila kita gagal menyebarkan budaya yang kritikal terhadap diri kita, kita akan ditolak dan sentiasa merasakan apa yang kita lakukan adalah benar,” katanya.