Penang Forum: Dakwaan Chow kelulusan EIA ambil masa 2 tahun mengelirukan

Projek tambak laut Selatan Pulau Pinang melibatkan tiga pulau bertujuan membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM46 bilion.

GEORGE TOWN: Kumpulan pendesak Penang Forum mempertahankan dakwaan seorang pakar bahawa Jabatan Alam Sekitar (JAS) hanya mengambil masa dua hari untuk meluluskan laporan Kajian Kesan Alam Sekitar (EIA) projek Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR).

Ia juga menolak penjelasan Ketua Menteri Chow Kon Yeow bahawa kerajaan negeri menunggu selama dua tahun bagi mendapatkan kelulusan JAS.

“Penyerahan dan menunggu kelulusan adalah dua perkara berlainan. Proses penyerahan laporan EIA tidak sama dengan “menunggu kelulusan”, kata anggota jawatankuasa pemandu Penang Forum, Khoo Salma Nasution kepada FMT.

Penyelidik alam sekitar, Evelyn Teh mendakwa bahawa JAS hanya mengambil masa dua hari untuk meluluskan PSR.

Khoo berkata, ini boleh dilihat daripada penyerahan laporan EIA PSR terdahulu pada 28 Apr 2017 yang ditolak pada Ogos tahun lepas kerana tidak memenuhi syarat tertentu.

“Penolakan tidak boleh disamakan dengan menunggu kelulusan,” katanya.

Khoo berkata, berikutan penolakan itu, kerajaan Pulau Pinang memohon kelulusan EIA untuk kali kedua, yang menghendaki keseluruhan proses itu dimulakan semula dari awal.

Beliau berkata, proses kedua EIA bermula pada 2 Apr 2019, dengan JAS mengadakan semakan awam laporan kedua EIA itu dari 9 hingga 28 Mei.

Satu pasukan teknikal kemudiannya akan bermesyuarat bagi membincangkan semakan awam tersebut.

“JAS menerima serahan akhir laporan kedua EIA pada 21 Jun 2019. Mereka mengambil masa dua hari bekerja untuk meluluskannya. Inilah soalan yang perlu dijawab oleh JAS sekarang.

“Mengambil kira penolakan laporan EIA pertama, dakwaan bahawa kerajaan negeri dan rakan kongsi penyampai projek (PDP) menunggu dua tahun bagi mendapatkan ‘kelulusan’ itu bukan sahaja mengelirukan, tetapi juga mendahului kelulusan JAS bagi laporan EIA tersebut” katanya.

PSR adalah inisiatif kerajaan negeri bagi membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) melalui tebus guna tiga buah pulau seluas 4,000 ekar di pesisir Permatang Damar Laut.

PDPnya, iaitu SRS Consortium Sdn Bhd, adalah usaha sama antara Gamuda Bhd dengan dua firma pembangunan hartanah Pulau Pinang, iaitu Loh Phoy Yen Holdings Sdn Bhd dan Ideal Property Development Sdn Bhd.

Gamuda sebelum ini mendakwa PSR, yang terkenal dengan nama jolokan projek tiga pulau, pada satu masa kelak akan menyaingi Marina Bay di Singapura.

FMT telah meghubungi JAS, Chow dan SRS Consortium bagi mendapatkan komen.