Pengundi Israel gagal beri undi muktamad, kepimpinan Netanyahu goyah

Perdana Menteri Israel yang paling lama berkhidmat Benjamin Netanyahu. (Gambar AFP)

JERUSALEM: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu gagal memenangi majoriti dalam pilihan raya yang menatijahkan keputusan seri antara blok sayap kanan pimpinannya dengan kumpulan garis tengah-kiri yang akan dipimpin bekas ketua tentera Benny Gantz.

Menurut keputusan hampir penuh yang dikeluarkan Rabu, keputusan itu merupakan tekanan baru terhadap pemimpin Israel paling lama berkhidmatitu, yang sedia lemah kerana kegagalannya menubuhkan kerajaan berikutan pilihan raya tidak konklusif pada April.

Bagaimanapun, dengan pembinaan gabungan politik sekali lagi menjadi kunci bagi membentuk kerajaan, ia akan mengambil masa beberapa hari atau minggu sebelum keadaan menjadi lebih jelas sama ada ahli politik licik yang dikenali dalam kalangan penyokongnya sebagai “King Bibi” akan tersingkir selepas berkuasa selama sedekad.

Kempen kedua-dua Netanyahu dan Gantz memperlihatkan perbezaan kecil berkaitan banyak isu penting. Tamatnya era Netanyahu tidak akan banyak mengubah dasar atau hubungan dengan Amerika Syarikat (AS), perjuangan serantau dalam menghadapi Iran atau konflik Palestin.

Susulan laporan media yang menyebut 90 peratus undi telah dikira pada Selasa, blok yang diketuai parti Likud pimpinan Netanyahu meraih kedudukan hampir seimbang dengan kumpulan garis tengah diketuai Gantz, iaitu Parti Biru Putih.

Blok Likud diihat bakal menguasai 55 peratus daripada 120 kerusi di Parlimen, dengan 56 kerusi dikuasai gabungan garis tengah-kiri. Kedua-duanya gagal memenangi majoriti 61 kerusi bagi membentuk kerajaan.

Tokoh bukan pilihan, bekas menteri pertahanan Avigdor Lieberman, dijangka muncul sebagai undi penentu sebagai pemimpin parti nasionalis sekular Yisrael Beitenu, yang diramalkan memenangi sembilan kerusi.

Lieberman mencadangkan penubuhan sebuah kerajaan perpaduan dianggotai parti terbesar. Beliau enggan menyokong usaha Netanyahu membentuk gabungan sayap kanan dan agama sempit selepas pilihan raya April, yang membawa kepada pilihan raya ulangan luar jangkaan semalam.

Dengan politik Israel buntu, Netanyahu membatalkan ucapan tahunannya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu minggu depan, kata seorang jurucakap.

Lawatan tersebut boleh membuka peluang untuk beliau bertemu Presiden AS Donald Trump. Netanyahu mewar-warkan hubungan baik beliau dengan Trump dalam kempen pilihan raya baru lepas.