PM nafi beri projek RM450 juta di Kelantan secara rundingan terus

Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah di Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA: Dr Mahathir Mohamad menafikan kerajaan menawarkan sebuah projek bernilai RM450 juta di Kelantan melalui rundingan terus, sebaliknya ia adalah lanjutan kepada projek sedia ada.

“Sekiranya anda baca nota yang saya tulis, saya kata jika syarikat itu sedia mengurangkan kosnya dan ia merupakan lanjutan kepada projek terdahulu, jadi ia bukan rundingan terus,” katanya selepas mempengerusikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah di sini, hari ini.

Perdana menteri mengulas sepucuk surat didakwa daripada Kementerian Kewangan yang tersebar di media sosial mengatakan sebuah projek membina Bangunan Gunasama Persekutuan di Kota Baru ditawarkan melalui rundingan terus.

Surat bertarikh 26 Julai 2019 itu didakwa difaks kepada Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Hasnol Zam Zam Ahmad.

Surat itu merujuk sepucuk lagi surat yang dihantar perdana menteri dua minggu lalu.

Isnin lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, beliau akan membincangkan perkara itu dengan Mahathir.

Ditanya jika Lim sudah membincangkan perkara itu dengannya, Mahathir berkata: “Ya, kami akan bincang mengenainya.”

Terdahulu, Mahathir berkata, ada keperluan untuk rundingan terus, tetapi ia hanya dibenarkan untuk keadaan tertentu.

Beliau memberi contoh apabila hanya ada sebuah syarikat yang boleh membekalkan peralatan ketenteraan kepada pasukan tentera.

“Tetapi, mereka (kementerian berkaitan) perlu menyatakan alasan untuk rundingan terus dan mendapatkan kebenaran Kementerian Kewangan.”