Putrajaya cadang integrasi kakitangan jabatan lain ke kastam, polis

PUTRAJAYA: Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan persekutuan akan meneliti cadangan mengintegrasikan penjawat awam dari jabatan lain untuk menampung kekurangan dalam pasukan polis dan kastam.

Perdana menteri berkata, Malaysia kini mempunyai 1.7 juta penjawat awam dan kerajaan tidak mampu mengambil kakitangan baru disebabkan kekangan kewangan.

“Memandangkan kita tak mempunyai kewangan yang cukup untuk ambil lebih ramai kakitangan, kita boleh intergrasikan penjawat awam ini ke dalam jabatan lain (sebab) polis dan kastam nak pakai orang (kakitangan),” katanya mengulas hasil mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah di Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Mahathir bagaimanapun tidak memberi tempoh untuk melaksanakan cadangan itu.

Beliau berkata, kerajaan akan meneliti perancangan Bajet 2020 sebaik mungkin bagi memastikan sumber kewangan mencukupi untuk tadbir urus dan kelangsungan pentadbiran.