Putrajaya sokong kamera badan pada penguat kuasa undang-undang

PUTRAJAYA: Putrajaya sedia memasang kamera badan pada pegawai dan anggota penguatkuasaan undang-undang ketika menjalankan tugas bagi meningkatkan integriti pihak berkuasa.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata cadangan itu akan dilaksanakan secepat mungkin apabila kewangan kerajaan mengizinkan.

“Kita akan buat secepatnya apabila kita ada wang,” katanya selepas mempengerusikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Dewan Taklimat Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Pada Selasa, Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto mencadangkan polis dilengkapi dengan kamera badan supaya rakamannya boleh digunakan sebagai bukti dalam siasatan, inkues dan prosiding mahkamah.

Seruan itu susulan kejadian berbalas tembakan antara polis dan tiga individu di Batu Arang, Rawang di Selangor baru-baru ini.

Mahathir berkata penggunaan kamera badan akan memastikan kecekapan penguat kuasa selain memastikan tiada unsur rasuah dan salah guna kuasa semasa menjalankan tugas.

“Kita nak tahu dia buat dengan betul atau tidak…bila kita ada kemera kita akan tahu,” katanya.