Putrajaya tingkat ciri keselamatan IT elak kebocoran rekod perubatan berulang

Siasatan Greenbone Network yang disiarkan pada 16 September lalu mendapati berlaku kebocoran data jutaan rekod perubatan dalam talian, termasuk hampir 19,922 rekod perubatan milik warga Malaysia boleh diakses di tiga sistem arkib, termasuk imej x-ray, imbasan CT dan MRI. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan mempertingkatkan ciri dan tahap keselamatan aplikasi serta infrastruktur teknologi maklumat (IT) di semua kemudahan kesihatan bagi mengelakkan insiden kebocoran data hampir 20,000 rekod perubatan warga Malaysia berulang.

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kementeriannya menerusi mesyuarat khas pagi tadi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Agensi Keselamatan Siber Negara turut memutuskan untuk melakukan pemetaan risiko pendedahan di semua kemudahan kesihatan.

“Antara langkah segera yang sedang dijalankan ialah mengkaji semula risiko pendedahan di semua hospital yang menggunakan sistem PACS (Picture Archiving and Communication Systems),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebuah syarikat keselamatan Jerman, Greenbone Network dalam hasil siasatan yang disiarkan pada 16 September lalu mendapati berlaku kebocoran data jutaan rekod perubatan dalam talian, termasuk hampir 19,922 rekod perubatan milik warga Malaysia boleh diakses di tiga sistem arkib, bersama 1.2 juta imej berkaitan.

Antara data peribadi yang dikenal pasti dalam kebocoran data itu adalah nama penuh pesakit, tarikh lahir dan tarikh pemeriksaan perubatan, serta imej x-ray, imbasan tomografi berkomputer (CT) dan imbasan resonans magnetik (MRI).

Greenbone memberi amaran individu yang dinamakan dalam kebocoran data itu terdedah kepada penyalahgunaan maklumat peribadi untuk mengancam reputasi dan kecurian identiti.

Hari ini, Dzulkefly berkata, kementeriannya mengambil serius kebocoran data itu dan pendedahan Greenbone menunjukkan negara memasuki era baru ancaman siber yang turut berlaku di seluruh dunia.

“Perkara ini boleh berlaku di mana-mana fasiliti kesihatan termasuk perkhidmatan hospital swasta dan pusat-pusat perubatan di institut pengajian tinggi.

“Sekuriti siber adalah cabaran yang berterusan dan memerlukan lebih banyak kemahiran serta tenaga pakar untuk menanganinya.”

Jelasnya, Kementerian Kesihatan akan memberi perkembangan terkini dari semasa ke semasa berhubung perkara itu.