Remaja antara 5 didakwa bunuh, bakar lelaki di Kelantan

Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin ke atas semua tertuduh, termasuk seorang remaja berusia 17 tahun.

PASIR PUTEH: Seorang remaja antara lima yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemuda awal bulan ini.

Semua tertuduh mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Majistret, Mohd Dinie Shazwan Ab Sukor.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Nur Firdaus Zulkipli, 25, Wan Mohamad Adzim Syazwan Wan Bakar, 23, Sahrulnizan Ismail, 20, Muhammad Rusyaidi Sharin, 21, dan seorang remaja berusia 17 tahun.

Mereka didakwa membunuh Mohd Aiman Suaidi Samsudin, 26, secara bersama antara 5 hingga 8 pagi pada 2 September lalu di Sungai Kampung Puyu, Cherang Ruku, di sini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asma’a Che Omar dan hanya tertuduh juvana saja diwakili peguam, Aminudin Mohamad.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan sebutan semula ditetapkan pada 31 Oktober ini.

Media sebelum ini melaporkan penemuan mayat seorang lelaki dengan kesan terbakar dan beberapa tikaman di badannya di sebatang sungai di Kampung Sungai Puyu, di sini.