Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Pasaran global kekurangan pemangkin dengan peserta pasaran memantau rapat rundingan perdagangan AS-China yang bermula hari ini.

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS pada pagi ini berikutan kekurangan permintaan meskipun keputusan yang diambil Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) semalam untuk mengurangkan kadar faedah.

Pada 9 pagi, ringgit susut kepada 4.1905/1945 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1820/1860 pada Rabu.

Seorang peniaga berkata, langkah Fed menurunkan kadarnya sebanyak sesuku telahpun dijangkakan ramai. Ia merupakan penurunan keduanya tahun ini.

“Keseluruhannya, pasaran global terus kekurangan pemangkin dengan peserta pasaran memantau dengan rapat rundingan perdagangan Amerika Syarikat-China yang akan bermula hari ini,” katanya.

Sementara itu, berbanding kumpulan mata wang utama lain, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah kecuali euro yang meningkat kepada 4.6192/6253 daripada 4.6199/6259.

Unit tempatan turun berbanding yen kepada 3.8690/8738 daripada 3.8640/8688, susut berbanding pound Britain kepada 5.2235/2301 daripada 5.2116/2174 tetapi kekal tidak berubah berbanding dolar Singapura daripada paras 3.0423/0463 semalam.