Selangor bukan rasis, pengurus selar Antonio German

Bekas penyerang Queens Park Rangers, Antonio German.

PETALING JAYA: Pengurus pasukan Selangor, Abdul Rauf Ahmad menyangkal kenyataan Antonio German yang mendakwa dia meninggalkan Red Giants selepas menerima mesej bersifat perkauman daripada peminat yang turut memalukannya semasa perlawanan.

Rauf berkata perkara seumpama itu tidak pernah berlaku sama ada dalam kalangan pemain mahu pun penyokong Selangor.

“Selangor bukan pasukan yang baru ditubuhkan. Malah kita pernah ada pemain-pemain berkulit hitam beraksi dengan skuad Red Giants dan ada dalam kalangan mereka pernah membantu kejayaan Selangor sebelum ini,” kata beliau.

Bekas penyerang Queens Park Rangers mendakwa dia meninggalkan Liga Super Malaysia sebulan selepas menerima mesej bersifat perkauman daripada peminat yang turut memalukannya semasa perlawanan.

German, yang turut bermain untuk kelab di Scotland, England dan India, berkata dalam satu wawancara dengan BBC Sport, dia diberitahu dia “terlalu gelap” untuk bermain dengan Selangor.

Beliau berkata mesej itu yang dibuat media sosial, hanya daripada sebilangan kecil peminat, namun dia terkejut dengan mereka.

Sehubungan itu, Rauf memberitahu beliau berharap jangan disebabkan permasalahan lain seperti masalah peribadi dan prestasi, isu perkauman dikaitkan dengan penyokong dan pemain Selangor.

“Saya sangkal semua dakwaan yang dibuat pemain itu,” kata Rauf dipetik Sinar Harian.
Beliau berkata penamatan kontrak penyerang berusia 27 tahun itu juga mengikut prosedur ditetapkan dan dipersetujui secara bersama kedua-dua pihak.