Syarikat Malaysia berkait jerebu belum beri laporan, kata Teresa

Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata, syarikat Malaysia yang didakwa terlibat dengan pembakaran terbuka mempunyai pensijilan mampan.

PUTRAJAYA: Empat syarikat yang didakwa merupakan penyumbang fenomena jerebu belum menyerahkan laporan penuh masing-masing mengenai keadaan yang berlaku, kata Menteri Industri Utama Terasa Kok.

Beliau bagaimanapun berkata, berdasarkan rekod kementerian, empat syarikat berkenaan mengamalkan kaedah perladangan kelapa sawit mampan, selain menegaskan syarikat terbabit bersedia bekerjasama bagi menangani dakwaan Jakarta.

“Rekod ini adalah berdasarkan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), Rundingan Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Mampan (RSPO) dan Kemampanan dan Karbon Antarabangsa (ISCC) atau kombinasi sistem pensijilan antarabangsa yang diiktiraf,” katanya.

Beliau kesal berhubung dakwaan yang mengaitkan kementeriannya dengan pembakaran terbuka dengan berkata, syarikat tersebut tidak semestinya bersalah kerana mereka mempunyai sijil pengesahan.

“Dakwaan terhadap empat syarikat kita oleh kerajaan Indonesia adalah serius dan memberi kesan ke atas imej mereka, selain memberi kesan tidak lamgsung terhadap imej Malaysia sebagai negara pengeluar minyak sawit,” katanya ketika berucap pada acara Kementerian Industri Utama di sini, hari ini.

Empat syarikat perladangan Malaysia itu didakwa dengan sengaja melakukan pembakaran terbuka yang menyumbang kepada masalah jerebu yang melanda rantau ini ialah Sime Darby Plantation, IOI Corporation, TDM Bhd dan Kumpulan Kuala Lumpur Kepong.

Kebakaran meluas berlaku di Sumatra dan Kalimantan beberapa bulan kebelakangan ini sehingga menyebabkan jerebu di rantau ini. Indonesia mengerahkan beberapa ribu orang anggota keselamatannya untuk memadamkan kebakaran.

Reuters melaporkan Menteri Alam Sekitar Indonesia Siti Nurbaya Bakar berkata, Malaysia tidak memberikan gambaran objektif mengenai kebakaran di negara manakah yang menyebabkan jerebu di rantau ini, kerana kebakaran juga berlaku di ladang milik Malaysia di Sumatra.

Teresa berkata, pihak berkuasa Indonesia telah menyita tanah dimiliki anak syarikat empat syarikat Malaysia terbabit, iaitu Sime Indo Agro (satu unit dalam Sime Darby Plantation yang berpangkalan di Kalimantan Barat; Sukses Karya Sawit (satu unit dalam IOI Corporation)’ Rafi Kamajaya (satu unit dalam TDM Bhd) dan Adei Plantation and Industry (satu unit Kumpulan Kuala Lumpur Kepong) yang berpangkalan di Riau.

Sime Darby Plantation Berhad bagaimanapun menafikan bahawa ladang milik anak syarikatnya, PT Sime Indo Agro, disita.