Tanpa jawatan PM pun Anwar boleh perjuang MA63, kata aktivis Sarawak

Aktivis hak Sarawak Francis Paul Siah berkata, rakyat negeri itu tidak yakin PH boleh memulihkan haknya di bawah MA63, tetapi percaya Anwar perlu diberikan peluang.

KUCHING: Rakyat Sarawak masih meragui janji Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata seorang aktivis.

Francis Paul Siah, pengasas Movement of Change Darawak (MoCS) berkata, ini kerana terlalu banyak janji pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang gagal ditunaikan.

Siah berkata, Anwar tidak harus menunggu sehingga beliau menjadi perdana menteri bagi mengatasi masalah yang menyelubungi MA63.

“Sebagai pemimpin besar dalam majlis presiden PH, Anwar cukup berkuasa untuk mempercepatkan perjalanan perbincangan bagi membolehkan penyelesaian dicapai segera,” katanya kepada FMT.

“Apakah semua keputusan besar tidak dibuat oleh pemimpin PH?”, soal beliau.

Beliau berkata, Anwar sendiri kerap bertemu dengan perdana menteri. Justru tidak menjadi masalah sekiranya beliau membangkitkan banyak perkara, termasuk MA63.

Dalam lawatan terbarunya ke Sabah, Anwar berjanji akan menyelesaikan masalah berkaitan MA63 apabila beliau menjadi perdana menteri.

Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, untuk menyemak semula MA63. Langkah itu merupakan sebahagian daripada janji PH untuk memulihkan hak Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setaraf dalam persekutuan Malaysia.

Bulan lepas, Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan bahawa tujuh daripada 21 isu berkaitan MA63 telah diatasi berikutan persetujuan antara Putrajaya, Sabah dan Sarawak, termasuk mengenai hak sumber balakn dan perhutanan Sabah serta elektrik dan gas Sarawak.

Awal bulan ini, menteri undang-undang, Liew Vui Keong berkata, pasukan petugas MA63 telah menyerahkan laporan akhirnya kepada Kabinet pada 31 Ogos.

Siah mendakwa, wujud muslihat politik dan permainan kuasa dalam kerajaan PH.

Bagaimanapun katanya, Anwar masih perlu diberikan peluang.

“Rakyat Sarawak perlu bersikap adil dan memberi Anwar peluang untuk menunaikan janjinya kepada negeri ini,” katanya.