Apa salahnya bertemu Hadi, Abang Johari tepis DAP

(Gambar Facebook)

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg menepis dakwaan DAP yang mengatakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bekerjasama dengan PAS untuk mengalahkan Pakatan Harapan di negeri itu, menyifatkan ia politik “cetek”.

Beliau menjelaskan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar yang membuat kunjungan hormat itu dan bukan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

“Hadi menyertai mesyuarat itu kerana Ahmad bekas setiausaha politiknya, dan Ahmad yang membuat kunjungan hormat kerana kita ada perkara minyak dan gas yang perlu dibincangkan.

“Saya juga pernah bermesyuarat dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Apa salahnya kalau saya bertemu Hadi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Pada Selasa, Hadi dan beberapa pemimpin PAS membuat kunjungan hormat kepada Abang Johari, tiga hari selepas parti Islam itu memeterai piagam bersejarah dengan Umno.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata mesyuarat antara dua pemimpin mengesahkan kesatuan antara PAS, Umno dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu untuk mengalahkan PH di negeri itu.