Badan pemikir gesa kerajaan semak matlamat, pencapaian GLC

Pengarah Ideas, Laurence Todd berkata, penjualan hartanah kerajaan tidak akan mengurangkan hutang negara dengan banyak.

PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir menggesa kerajaan supaya mengambil langkah lebih jauh, selain daripada menjual sebahagian hartanah miliknya bagi mengurangkan hutang negara.

Pengarah Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Laurence Todd memberitahu FMT, beliau menyambut baik kenyataan perdana menteri bahawa Putrajaya bercadang untuk melupuskan hartanah tidak penting, tetapi berkata, ia tidak akan mengurangkan hutang negara dengan banyak.

Katanya, beban utama ke atas kewangan kerajaan ialah perbelanjaan mengurus, termasuk kos pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau menggesa kerajaan menjalankan semakan semula menyeluruh ke atas matlamat dan pencapaian GLC di dalam dan juga di luar negara.

“Tujuannya ialah untuk menetapkan matlamat lebih jelas yang boleh dipantau,” katanya.

Laurence berkata, kerajaan menguasai pegangan majoriti dalam banyak syarikat besar Malaysia dan ini bermakna kerajaan terdedah kepada ekonomi negara dan akan mengalami kerugian pada masa berlakunya kelembapan.

“Kerajaan tidak perlu memegang sehingga 70% kepentingan dalam sesetengah syarikat. Sebaliknya ia boleh memiliki satu peratus dalam lebih banyak syarikat dan membiarkan mereka berjalan secara bebas,” katanya.

Katanya, kerajaan juga memegang 40% daripada pasaran saham, sekali gus menggesa ia mengurangkannya jumlah itu kepada satu peratus bagi mengurangkan pendedahannya kepada ketidaktentuan pasaran.

Pegangan kerajaan dalam saham majoriti juga berpotensi mengekang pengembangan sektor swasta, katanya.

Beliau memuji strategi dana kerajaan Norway untuk melabur dalam pasaran di luar negara dan memiliki pegangan kecil dalam syarikat negara itu dengan berkata, ia bertujuan untuk mengelak daripada mempengaruhi perkembangan perniagaan domestik.

Beliau juga mencadangkan supaya kerajaan mencontohi Korea Selatan dengan membuat pelaburan dalam pembangunan industri dengan berkata, negara berkenaan berjaya membangunkan jenama terkenal seperti Samsung.

“Kerajaan harus mewujudkan dana sebegitu,” katanya.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata, kerajaan harus mengurangkan kawalannya ke atas pelabuhan, perkhidmatan utiliti dan syarikat telekomunikasi serta sekurang-kurangnya dua bank.

Beliau juga mencadangkan GLC diberi masa antara tiga ke lima tahun untuk membuat keuntungan dan bertindak menggantikan eksekutif mereka sekiranya gagal.

“Pelantikan yang dibuat perlu bebas daripada tujuan politik,” katanya.

Nazari Ismail, pensyarah di Fakuti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya berkata, perlu wujud ketelusan dalam penjualan hartanah milik kerajaan.

Katanya, kerajaan sepatutnya menjual hartanah terbabit sekurang-kurangnya pada harga pasaran dan memastikan pembelinya tidak mempunyai hubungan politik.