G25 gesa umum siasatan kebakaran Hospital Sultanah Aminah

PETALING JAYA: Kumpulan bekas penjawat awam kanan G25 membidas Putrajaya kerana merahsiakan laporan dua jawatankuasa bebas bawah Akta Rahsia Rasmi, termasuk mengenai kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 2016 yang meragut enam nyawa.

G25 berkata dua ahlinya terlibat dalam jawatankuasa itu dan sangat kecewa laporan-laporan yang diserahkan kepada Kabinet beberapa bulan lalu masih diketepikan buat sementara waktu.

Laporan ke atas kejadian kebakaran di HSA, katanya, mendapati kelemahan serius mengenai peruntukan belanjawan dan tatacara operasi yang berkaitan dengan langkah-langkah keselamatan dan tanggungjawab pentadbiran. Jawatankuasa itu juga mendapati pelanggaran undang-undang yang berkaitan.

Manakala satu lagi laporan melihat kepada pengurusan pekerja asing. Ia mendengar aduan-aduan mengenai salah guna kuasa dan rasuah.

“Kedua-dua laporan itu tidak berkaitan dengan keselamatan negara dan oleh itu tidak harus dikelaskan bawah OSA dan dirahsiakan daripada orang ramai,” katanya dalam kenyataan.

G25 berkata dalam kedua-dua laporan itu, jawatankuasa terbabit mengemukakan syor-syor penambahbaikan di peringkat pembikinan dasar dan meminta menteri memberikan arahan jelas dan sumber secukupnya kepada kakitangan operasi dan penguatkuasaan.

Laporan itu juga tumpu kepada kebertanggungjawaban dan kawalan dalaman bagi mencegah kekeliruan dalam pelaksanaan dan menutup lubang-lubang bagi menghalang mana-mana orang menyalahkan orang lain.

“Kedua-dua jawatankuasa itu menyarankan laporan masing-masing dibuka kepada orang ramai,” katanya.

G25 berkata di kebanyakan negara demokrasi, laporan-laporan sedemikian akan dibentangkan di Parlimen untuk diteliti dan dibahas di peringkat jawatankuasa pilihan khas.