Isu Zakir Nair: Saifuddin pertahan kenyataan Mahathir

Saifuddin Abdullah.

PUTRAJAYA: Menteri Luar Saifuddin Abdullah hari ini berkata beliau boleh mengesahkan kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa Perdana Menteri India Narendra Modi tidak meminta penceramah Dr Zakir Naik diekstradisi ketika pertemuan mereka di Rusia baru-baru ini.

Saifuddin dalam kenyataan hari ini berkata beliau hadir dalam pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu di Vladivostok pada 5 Sept.

Beliau berkata Mahathir secara ringkas dan jujur menyatakan perkara yang berlaku semasa pertemuannya dengan Modi.

Mahathir dalam jawapan kepada pertanyaan media tentang Zakir menegaskan bahawa Modi tiada membuat permintaan untuk Zakir diekstradisi.

“Beliau (Modi) ada menyebut Zakir Naik. Tetapi, beliau tidak meminta Zakir Naik dihantar ke India,” kata Mahathir dalam sidang akhbar selepas melancarkan Rangka Kerja Dasar Luar Negara Baru Malaysia pada Rabu.

Menteri Hal Ehwal Luar India S Jaishankar bagaimanapun dilaporkan berkata Modi telah membahas topik ekstradisi Zakir dengan Dr Mahathir.

“Saya pasti dapat menjamin kebenaran ini kerana saya sendiri hadir dalam pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu, sedangkan rakan sejawatan saya menteri hal ehwal luar India tidak,” kata Saifuddin berikutan komen tidak ramah yang dibuat oleh beberapa pihak meragui fakta dan kebenaran yang dituturkan oleh Mahathir.

Saifuddin menggesa pihak-pihak tidak membuat spekulasi dan membuat dakwaan yang tidak berasas.

“Malaysia dan India mempunyai hubungan yang kuat dan komprehensif selama lebih dari enam dekad. Hubungan pelbagai fungsi yang kuat ini saling menguntungkan rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Saifuddin berkata komen-komen itu bukan sahaja sinis dan mengelirukan tetapi juga jauh daripada kebenaran.

“Komen-komen itu, oleh itu, tidak sepatutnya diucapkan,” katanya.