Jerebu: Sri Aman dalam kategori bahaya

Keadaan berjerebu di Sarawak bertambah teruk dengan Sri Aman memasuki kategori bahaya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sri Aman, Sarawak memasuki kategori “bahaya” dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melepasi paras 300 sejak 6 pagi tadi.

Pada 6 pagi dan 7 pagi, bacaan IPU yang direkodkan masing-masing 301 dan 362.

Bagaimanapun empat lagi kawasan di Sarawak iaitu Sibu (204), Sarikei (235), Samarahan (218) dan Kuching (250) masih dalam kategori sangat tidak sihat.

Dalam pada itu, Mukah sudah terkeluar dari paras sangat tidak sihat. Kawasan itu mencatatkan paras 167 setakat 6 pagi.

Semenanjung terus memperlihatkan perubahan positif sebagaimana direkod sejak petang semalam.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.