Jokowi arah undang-undang seks luar nikah ditangguh

Pengkritik menganggap undang-undang itu sebagai melanggar hak kebebasan asasi. (Gambar AFP)

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo hari ini menyeru usaha meluluskan undang-undang baru yang akan menjadikan hubungan seks luar nikah sebagai jenayah ditangguhkan selepas rancangan kontroversi itu mencetuskan bantahan orang ramai.

Rombakan kanun jenayah yang dicadangkan itu harus diteliti semula kerana bantahan itu, kata Joko, meminta parlimen membatalkan pengundian yang dirancang ke atas semakan itu sebelum sesi berakhir minggu depan.

Perubahan yang dicadangkan itu boleh memberi kesan kepada jutaan di negara majoriti Islam terbesar di dunia itu, termasuk pasangan heterosexual dan homosexual yang mungkin berdepan penjara kerana seks luar nikah.

Pada Jumaat, kedutaan Australia di Jakarta mengeluarkan nasihat perjalanan baru, mengatakan undang-undang itu boleh menyebabkan pelancong asong menjadi sasaran.

“Selepas mendengar bantahan daripada pelbagai kumpulan mengenai aspek-aspek undang-undang itu, saya membuat keputusan supaya beberapa perkara dalamnya perlu dipertimbangkan dengan lanjut,” kata Joko dalam satu taklimat media.

“Menteri kehakiman diminta untuk menyampaikan pandangan saya kepada parlimen dan pemeteraian kanun jenayah itu harus ditangguh dan tidak diluluskan,” dalam sesi sekarang, tambahnya.

Mengemaskini kanun jenayah Indonesia, yang daripada zaman penjajah Belanda, dibahaskan selama beberapa dekad dan nampak seperti akan diluluskan pada 2018 tetapi tidak diteruskan.

Desakan baru tahun ini, yang disokong kumpulan-kumpulan konservatif Islam, bertemu kritikan daripada kumpulan hak asasi dan rakyat kebanyakan yang marah dengan undang-undang yang dirasakan menceroboh kamar 260 juta rakyat – negara keempat paling ramai penduduk di dunia.

Satu petisyen dalam talian menyeru usul itu dibatalkan mendapat separuh juta tandatangan sementara ratus ribu lagi menyuarakan kemarahan di media sosial.

“Gila kalau lolos juga. Gila! Mau jadi apa ini Indonesia?” kata pengarah filem Joko Anwar kepada 1.7 juta pengikutnya di Twitter.

Mana-mana orang yang mengadakan seks luar nikah berdepan hukuman penjara antara enam bulan dan satu tahun, serta denda, dalam perubahan yang dicadangkan itu.

Hukuman juga diperuntukkan bagi mana-mana orang yang menunjukkan atau menawarkan pencegahan hamil kepada orang-orang bawah usia 18 tahun.

Semakan itu juga nampaknya melarang ibu bapa daripada mengajar anak-anak mengenai seks atau pencegahan hamil, dan menyerahkan hal itu kepada kakitangan kerajaan bertauliah.

“Pendidikan seks penting. Nokhtah,” kata seorang wanita di Twitter.

“Saya rela ke penjara daripada anak perempuan saya dirogol teman lelakinya kerana dia tidak tahu seks harus ada persetujuan,” katanya.