Kerjasama Umno-PAS belum sampai pakatan politik, kata Mohd Amar

Naib Presiden PAS, Mohd. Amar Nik Abdullah berkata masih terlalu awal untuk PAS membentuk kerajaan campuran dengan Umno.

PETALING JAYA: Naib Presiden PAS, Mohd. Amar Nik Abdullah berkata pihaknya belum melangkah ke peringkat pakatan politik atau “tahaluf” dengan Umno, sebaliknya hanya mengesahkan “taawun” dengan memeterai Piagam Muafakat Nasional minggu lalu.

Sehubungan itu kata beliau, masih terlalu awal untuk PAS membentuk kerajaan campuran dengan Umno biarpun kedua-dua parti menandatangani piagam itu pada 14 Sept.

“Sekarang ini bagi saya, kita lebih kepada taawun iaitu kerjasama, kerjasama yang longgar. Kita tidak masuk kepada tahaluf, pakatan politik lagi,” kata beliuau dipetik Utusan Online.

Katanya, Piagam Muafakat Nasional lebih kepada perjanjian persefahaman sebagai ‘tanda jadi’ secara rasmi sebab sebelum ini kerjasama seumapam itu tidak rasmi dalam pilihan raya kecil.

“Dan dalam piagam itu lebih kepada garis panduan antara PAS dan Umno setakat mana, apa yang boleh buat dan apa yang tidak boleh buat,” jelas beliau.

Pada 17 Sept lalu, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata pihaknya belum membincangkan idea kemungkinan pembentukan kerajaan campuran di negeri-negeri ditadbir kedua-dua parti itu buat masa sekarang.

Kedua-dua parti itu juga memutuskan berpendirian tidak akan bertindak sebagai pembangkang sebaliknya akan berperanan “kawan kerajaan”.

Kata beliau, pendekatan itu akan digunakan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis.

Menteri Besar Perlis Azlan Man berkata kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional (BN) menyambut baik sebarang cadangan mewujudkan kerajaan campuran dengan PAS tetapi ia perlu diputuskan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti.

PAS juga telah menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man untuk memperincikan perjanjian tersebut sebelum keputusan bersama dengan Umno diambil untuk tindakan di semua peringkat kedua-dua parti.

Mohd. Amar yang juga timbalan Menteri Besar Kelantan memberitahu beliau berpendapat Piagam Muafakat Nasional lebih kepada rancangan jangka panjang untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang dan bukannya untuk keputusan politik pada masa terdekat.

“Perlis sudah tawarkan (kerajaan campuran), itu mungkin pandangan peribadi menteri besar tetapi parti sendiri tidak ada apa lagi. Perlu dibincangkan oleh pusat, baru kita buat keputusan,” kata beliau.

“Kalau kita (PAS) nak masuk macam Barisan Nasional (BN) dulu. Perlu dapatkan keputusan daripada Muktamar Tahunan. Kita tidak boleh pergi macam itu. Kita ada langkah-langkahnya,” katanya.