Kes rasuah: Menteri sukan mohon maaf kepada Jokowi, rakyat Indonesia

Imam Nahrawi. (Gambar Facebook)

JAKARTA: Imam Nahrawi meminta maaf kepada Presiden Indonesia Joko Widodo dan rakyat negara itu selepas meletakkan jawatan sebagai menteri sukan ekoran tuduhan rasuah pada Rabu.

Ahli politik parti Kebangkitan Kebangsaan (PKB) meletak jawatan selepas Komisi Pembanterasan Korupsi (KPK) menamakan beliau sebagai suspek dalam kes rasuah Jawatankuasa Sukan Kebangsaan Indonesia.

“Saya mohon maaf kepada Tuan Presiden, Naib Presiden, Pengerusi PKB, pengerusi PBNU, dan rakyat Indonesia, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan di kementerian sukan,” kata Nahrawi di pejabat kementerian semalam.

Dipetik portal Tempo, Nahrawi menjelaskan beliau mahu memberi tumpuan kepada kes rasuah membabitkan dirinya, oleh itu telah memutuskan untuk meletak jawatan sebagai menteri.

Katanya, beliau mahu membuktikan kepada orang ramai bahawa tidak terlibat dalam skandal rasuah yang dikenakan terhadapnya.

Nahrawi juga meminta semua pihak agar menegakkan tanggapan tidak bersalah, sambil menambah beliau sudah bersedia untuk menjalani proses undang-undang.

“Kami akan mengikuti semua proses,” kata beliau.

Kelmarin, Jokowi memaklumkan menteri sukannya meletak jawatan selepas dinamakan sebagai suspek rasuah oleh KPK.

KPK menamakan Imam Nahrawi dan pembantunya sebagai suspek.

Nahrawi ialah menteri Kabinet kedua yang terbabit dalam rasuah dan ini memberi tamparan kepada Widodo yang menjadi presiden pada 2014 dengan ikrar untuk menubuhkan kerajaan bersih dan berkesan.

Kes rasuah itu membabitkan dua organisasi iaitu Kementerian Sukan dan Jawatankuasa Olahraga Nasional Indonesia.

Timbalan Ketua KPK, Alexander Marwata berkata, Nahrawi didakwa menerima rasuah 26.5 bilion rupiah berkaitan satu permohonan kepada kementerian untuk cadangan geran Koni dalam Bajet 2018.

Wakil itu bersama tiga kakitangan dari kementerian dan jawatankuasa terbabit sudah dinamakan suspek.