KPN mahu inkues siasat kejadian 3 mati ditembak di Batu Arang

Abdul Hamid Bador.

GEORGE TOWN: Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mahu satu inkues dijalankan terhadap kejadian tiga orang mati ditembak polis di Batu Arang, Rawang di Selangor.

Beliau yakin anggota-anggotanya menjalankan tugas mengikut tatacara operasi standard, demi kepentingan awam, dan inkues akan menjelaskan keadaan.

“Tiada apa yang perlu disembunyikan. Ada yang beranggapan saya menyembunyikan sesuatu dan melindungi pegawai saya. Biar inkues putuskan,” kata Hamid selepas sidang media di Bayan Baru hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan tiga lelaki dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata dan pecah rumah maut dalam kejadian berbalas tembakan di KM22, Jalan Batu Arang, Rawang pada 5 pagi 14 Sept lalu.

Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin berkata polis mempertahankan diri apabila diserang oleh suspek-suspek yang bersenjata api dan parang.