KPN sambut baik kamera badan, bantu polis sangkal fitnah

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menyambut baik penggunaan kamera badan sambil menyifatkan langkah itu akan membantu polis menyangkal fitnah dan persepsi negatif terhadap pasukan itu.

Beliau menambah keputusan Putrajaya itu tepat dan kena pada masa.

“Amat dialu-alukan,” kata beliau ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Pahlawan di Kementerian Pertahanan malam tadi.

“Kalau dapat direalisasikan ia banyak membantu dalam kerja penguatkuasaan dan mengelakkan penyelewengan dilakukan anak-anak buah saya.”

“Dengan adanya kamera badan, kalau berlaku perkara tidak diingini dalam operasi, itulah juga yang akan menjadi bukti untuk mengelakkan fitnah terhadap anak buah saya.”

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada sidang media semalam berkata cadangan untuk pegawai dan anggota penguatkuasaan undang-undang itu akan dilaksanakan secepat mungkin apabila kewangan kerajaan mengizinkan, mengatakan ia bagi memastikan kecekapan penguat kuasa dan meningkatkan integriti pihak berkuasa.

Perkembangan ini menyahut cadangan ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto yang mencadangkan polis dilengkapi kamera badan supaya rakamannya boleh digunakan sebagai bukti dalam siasatan, inkues dan prosiding mahkamah.

Ia susulan kejadian berbalas tembakan antara polis dan tiga individu di Batu Arang, Rawang di Selangor baru-baru ini.

Hamid akui Putrajaya perlu membelanjakan sejumlah wang yang besar bagi membekalkan kamera badan kepada setiap penguat kuasa, namun hasil penggunaan teknologi itu “amat berbaloi” dan berharap ia dapat dimasukkan dalam Belanjawan Malaysia 2020.

“Saya amat harapkan,” katanya.

Sementara itu, Hamid berkata penguat kuasa bukan sahaja memerlukan kamera badan tetapi juga pistol renjatan elektrik tanpa wayar, untuk membolehkan pegawai dan anggota menangani masalah tanpa menggunakan senjata api.

“Kita boleh tangkap orang dalam kes orang gila, orang yang mengamuk tanpa menggunakan senjata api. Polis juga memerlukan peralatan sebegitu dalam melicinkan tugasan pegawai dan anggota,” katanya.