Ku Nan gagal ketepi hakim dalam kes rasuah

Bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor.

KUALA LUMPUR: Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini gagal dalam usahanya mengetepikan hakim Mahkamah Tinggi daripada mendengar kes rasuah RM1 juta melibatkan beliau.

Hakim Mohd Jazlan Mohd Ghazali berkata, bekas menteri Wilayah Persekutuan itu gagal menunjukkan beliau akan bersikap bias.

Pada Selasa, Nazlan menyabitkan dan menjatuhkan hukuman ke atas ahli perniagaan Tan Eng Boon yang mengaku bersalah bersubahat dengan Tengku Adnan atau lebih dikenali dengan panggilan Ku Nan.

Nazlan berkata, walaupun sekiranya kes itu dibicarakan oleh seorang hakim lain, Tan akan turut memberi keterangan dan tertakluk kepada pemeriksaan balas.

“Tidak ada bahaya akan berlakunya bias,” katanya. “Permohonan ini tidak ada merit dan ditolak.”

Nazlan juga mengetepikan permohonan Ku Nan untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu rayuan beliau di Mahkamah Rayuan.

“Mengikut keputusan Mahkamah Persekutuan, perbicaraan tidak boleh ditangguhkan jika ia merupakan kes kepentingan awam,” katanya dengan menambah, kes berkenaan perlu disegerakan.

Dalam penghujahannya hari ini, timbalan pendakwa raya Julia Ibrahim berkata, Nazlan tidak boleh dituduh bias kerana Ku Nan tidak mengemukakan alasan yang mencukupi berhubung perkara itu dalam afidavit beliau.

“Hakim tidak merujuk fakta kes apabila (Tan) Eng Boon mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan,” katanya.

“Ini bukan perbicaraan dengan juri dengan orang awam sebagai pemeriksa fakta dan boleh dipengaruhi, sedangkan seorang hakim membuat keputusan berdasarkan undang-undang.”

Dalam afidavit bagi menyokong permohonannya, Ku Nan mendakwa beliau tidak akan mendapat perbicaraan adil kerana Nazlan mengetahui fakta kes berikutan keputusannya menghukum Eng Boon.

Bekas menteri yang diwakili peguam Tan Hock Chuan itu berkata, media juga melaporkan bahawa Eng Boon akan menjadi salah seorang saksi dalam perbicaraannya, sementara Nazlan membuat komen memburukkan ketika mensabitkan ahli perniagaan itu.

Nazlan menjatuhkan hukuman denda RM1.5 juta ke atas Eng Boon kerana bersubahat dalam rasuah bernilai RM1 juta kepada Ku Nan berkait urus niaga tanah melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Eng Boon, 70, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman dua tahun penjara, denda atau kedua-duanya sekali.

Beliau, yang merupakan pengarah sebuah syarikat hartanah dan pembangunan, dituduh memberi rasuah RM1 juta kepada Ku Nan melalui sekeping cek Public Bank milik Pekan Nenas Industries Sdn Bhd.

Cek tersebut didepositkan ke satu akaun CIMB Bank milik Ku Nan.

Ahli Parlimen Putrajaya itu dituduh menerima bayaran RM1 juta daripada Eng Boon untuk meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (kini dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) menambah nisbah plot industri sekeping tanah di Jalan Semarak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan bank CIMB di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 27 Dis 2013.

Ku Nan dituduh di bawah Seksyen 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda lima kali jumlah suapan jika sabit kesalahan.